LBS terima pengiktirafan daripada The Edge Billion Ringgit Club 2024
SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) telah melakar sejarah apabila memenangi anugerah ‘Highest Growth in Profit After Tax Over Three Years’ dalam kategori sektor hartanah di Anugerah The Edge Billion Ringgit Club 2024.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Lucas Lim Kim Kiat di sebuah hotel, di Kuala Lumpur, semalam.
Penyampaian anugerah itu atas pencapaian cemerlang dalam prestasi kewangan LBS selama tempoh tiga tahun.
The Edge Billion Ringgit Club (BRC) yang ditubuhkan pada 2010 mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam permodalan pasaran.
Anugerah ini mengiktiraf peningkatan konsisten LBS dalam untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sepanjang tempoh penilaian tiga tahun dari 2021 hingga 2023.
Prestasi kewangan Kumpulan untuk tahun 2023 adalah cemerlang dengan pendapatan mencapai RM1.8 bilion. PATMI pula menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, meningkat dari RM95.6 juta pada tahun 2021 kepada RM128.5 juta pada 2022 serta RM141.0 juta pada 2023.
Prestasi yang luar biasa ini menonjolkan fokus kumpulan dalam melaksanakan projek yang selaras dengan keperluan pasaran dan menjana jualan yang memberangsangkan.
Kadar pertumbuhan tahunan kompaun PATMI sebanyak 21.4 peratus selama tiga tahun mengesahkan prestasi kewangan cemerlang LBS yang disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang konsisten, keuntungan yang kukuh dan pengurusan kos yang berkesan di sebalik ketidaktentuan ekonomi semasa.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS, Datuk Wira Lim Hock Guan, berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah itu kerana ia menunjukkan fokus syarikat yang berterusan terhadap prestasi kewangan dan kecekapan operasi kumpulan.
“Peningkatan keuntungan kami setiap tahun membuktikan kekuatan model perniagaan dan dedikasi pasukan kami. Kami akan terus berusaha mencapai kecemerlangan ini memberi kami semangat untuk terus maju dan memimpin industri sebagai pemaju hartanah kediaman, perindustrian dan komersial.
“Sebagai pemaju yang inovatif, kami akan terus menyesuaikan diri dengan trend pasaran dan menghasilkan rumah berkualiti tinggi serta mampu milik untuk kebaikan pemilik rumah,”katanya.
Menurutnya, pencapaian LBS semakin kukuh dengan Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia Deloitte untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Anugerah ini jelas menunjukkan kecemerlangan dan kepimpinan luar biasa LBS. Kumpulan terus kekal optimis dan berhati-hati terhadap trajektori pertumbuhannya, disokong oleh tanah seluas 2,654 ekar dengan nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dijangka mencecah RM33 bilion, memastikan aliran projek untuk tahun-tahun akan datang.
“Selain itu, jualan yang belum dibil sebanyak RM1.6 bilion pada 30 Jun 2024 akan terus memberikan unjuran pendapatan yang kukuh dalam jangka masa terdekat dan potensi pertumbuhan yang berterusan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!