Barang kes bernilai hampir RM10 juta dilupuskan

Mohd Hafiz (tengah) melupuskan wang palsu di IPD Sungai Buloh, di sini, pada Jumaat.
Mohd Hafiz (tengah) melupuskan wang palsu di IPD Sungai Buloh, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Sebanyak 138,650 barang kes termasuk peralatan komputer, rokok dan arak yang dianggarkan bernilai hampir RM10 juta dilupuskan, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ia selepas arahan pelupusan oleh mahkamah bagi kesemua barangan kes membabitkan 214 kertas siasatan sejak 2019.

"Ia terdiri daripada 1,093 barang kes mesin perjudian dan 137,557 barang kes am.

"Jumlah terbesar barang kes yang dilupuskan adalah melibatkan kes kontraban (rampasan rokok) tidak bercukai sebanyak 136,427 karton rokok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan dan Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Ricky Teh Mah Long dan Majistret Muhammad Shafiq Sulaiman.

Mohd Hafiz berkata, selain itu, turut dilupuskan 660 botol dan tin minuman keras pelbagai jenama.

"Kita turut melupuskan 81 keping wang palsu dan pelbagai barangan am lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua barang kes itu merupakan hasil rampasan daripada operasi yang dijalankan di bawah pentadbiran IPD Sungai Buloh.

"Kesemua barang kes akan dilupuskan dengan kaedah e-waste dan musnah mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!