Wanita Kelantan #QuranHour dianjurkan September ini
TUMPAT - Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) akan menganjurkan Wanita Kelantan #QuranHour pada 28 September ini dalam usaha memperkasa golongan itu untuk terus membudayakan al-Quran dalam kehidupan.
Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim, berkata, program bakal dilangsungkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu itu bertujuan melahirkan wanita yang mampu mendukung ketua keluarga mereka ke arah kebaikan.
“Pada zaman ini, kita mahu sebuah institusi keluarga yang utuh dan wanita adalah individu paling penting serta rapat untuk membantu suami dalam menguruskan keluarga mengikut landasan syariat.
“Wanita dididik melalui pendekatan al-Quran yang lembut akan menghormati suami dan membantu melalui akhlak mulia dalam melayari bahtera rumah tangga mengikut syariat Islam,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan di Masjid An-Nur Kota Kubang Labu, di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, turut akan dilancarkan pada hari sama ialah Pertubuhan Briged An-Nisa iaitu satu perkumpulan terurus wanita yang akan bergerak turun padang ke kampung-kampung.
“Mereka ini akan membantu mendidik individu-individu mengaji dan kembali pada al-Quran dalam kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, pada Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan 2024 itu bergema solidariti mengaji melalui bacaan Surah 62: al -Jumu'ah Ayat 1 - 11 secara beramai-ramai melibatkan penyertaan lebih 1,000 peserta diketuai Imam Tua Masjid An-Nur, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood dan tadabbur oleh Penasihat PRNNK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad.
Program berlangsung dengan tema Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.
Turut diadakan Program Borak-borak Santai Malaysia #QuranHour serta Pesanan Ulama oleh Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Tambah Adnan, keluarga mawaddah akan terbina melalui isi rumah yang mendekatkan diri dengan al-Quran dan bertakwa kepada ALLAH SWT.
“Usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan melalui baca, faham dan amal akan diteruskan selepas penganjuran Malaysia #QuranHour kali ke-10 ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!