Kilang haram di Permatang Ara akhirnya dirobohkan

Laporan Sinar Harian sebelum ini berkenaan keresahan penduduk berikutan pengoperasian kilang haram di Kampung Permatang Ara.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berkenaan keresahan penduduk berikutan pengoperasian kilang haram di Kampung Permatang Ara.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah merobohkan struktur kilang haram yang didakwa menjejaskan kehidupan penduduk di sekitar Kampung Permatang Ara dekat sini.

Pengarah Jabatan Pematuhan Teknikal dan Dasar,Mohd Ridzal Abdul berkata, operasi meruntuhkan binaan tanpa kebenaran tersebut telah dilakukan pada 13 Ogos lalu selepas pihaknya menerima aduan berhubung binaan kilang plastik tanpa kebenaran di kawasan berkenaan.

Menurutnya, proses penguatkuasaan yang dijalankan itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) tindakan penguatkuasaan yang terdapat di MBSP.

"Kita menerima aduan daripada penduduk pada 14 Disember tahun lalu berhubung kilang plastik di Permatang Ara yang disyaki menjadi punca penyakit kanser kepada penghuni rumah berdekatan.

"Siasatan dan pemeriksaan tapak telah dijalankan dan didapati binaan yang didirikan di tapak terbabit adalah tanpa kebenaran sebelum notis binaan tanpa kebenaran itu dikeluarkan terhadap pemilik kilang beberapa hari kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Ridzal berkata, pada 18 Ogos notis telah dikeluarkan terhadap pemilik kilang terbabit dan dikehendaki untuk tidak memulakan atau meneruskan pendirian bangunan serta menghentikan kerja-kerja pembinaan dengan serta-merta jika pembinaan telah dijalankan.

Jelasnya, individu terbabit juga dikehendaki untuk meruntuhkan bangunan dalam masa 30 hari dari tarikh notis disampaikan.

"Pada 17 Januari MBSP telah menjalankan siasatan semula di tapak bagi menentukan sama ada arahan-arahan notis binaan tanpa kebenaran yang disampaikan dipatuhi atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati notis yang diberikan gagal dipatuhi oleh pemunya sebelum notis mengosongkan bangunan selama 30 hari dikeluarkan," ujarnya.

Beliau berkata, selepas mendapati pemilik kilang masih gagal mematuhi arahan dikeluarkan menyebabkan tindakan penguatkuasaan di tapak dilakukan dan berjalan dengan lancar.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan penduduk di sekitar Kampung Permatang Ara dekat sini rimas dengan pengoperasian sebuah kilang haram yang telah menjejaskan kualiti hidup seharian mereka.

Mereka mendakwa, kilang memproses barangan plastik itu bukan sahaja menyebabkan bunyi bising dan menggangu ketenteraman mereka malah kilang terbabit mengeluarkan habuk hingga menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!