LBS, Sinar Harian hidupkan peluang kedua bekas banduan
KUALA LUMPUR - Tarikh keramat 31 Ogos setiap tahun menjadi detik penting dan ditunggu-tunggu rakyat Malaysia untuk meraikan sambutan kemerdekaan negara.
Pelbagai aktiviti juga dirangka bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat negara ini, tanda kesyukuran di atas nikmat kebebasan daripada penjajah sejak 67 tahun lalu.
Namun, tanpa kita sedar, ada sebilangan rakyat yang masih lagi dihambat dengan ‘perangkap’ dunia sendiri sehingga terkurung dan terasing daripada masyarakat akibat silap percaturan hidup.
Bagi yang sudah menjalani hukuman penjara dan bersedia untuk kembali kepada masyarakat, mereka masih lagi dibayangi dengan ‘dosa silam’ dan keraguan akan penerimaan masyarakat apabila kembali bebas bagi meneruskan kehidupan.
Prihatin dengan nasib bekas banduan ini, pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Bhd mengambil inisiatif dengan menyantuni penghuni Rumah Perantaraan Kuala Lumpur yang terletak di Pandan Perdana.
Melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), LBS dengan kerjasama Sinar Harian menganjurkan program Jejak Bebas Merdeka 2024 untuk mengangkat dan menyantuni insan-insan yang memerlukan perhatian serta penerimaan daripada masyarakat umum.
Pengurus Kumpulan Komunikasi Korporat LBS Bina Group Bhd, Amal Abdul Aziz berkata, inisiatif itu adalah sesuatu yang sangat positif dalam membantu individu yang ingin mendapatkan peluang kedua dalam hidup.
Jelasnya, ia dibuat dengan cara memberikan perhatian dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
“LBS berharap agar program ini dapat membantu mereka memulakan hidup baru dengan jiwa dan persekitaran yang lebih merdeka.
“Ini adalah salah satu komitmen daripada LBS dan Sinar Harian terhadap pemulihan dan menghapuskan stigma atau persepsi untuk membuka pintu kepada mereka yang menghadapi cabaran hidup.
“LBS prihatin dengan mereka dan ingin memastikan bahawa golongan ini tidak berasa terpinggir atau tidak diterima, tetapi sebaliknya merasakan mereka adalah sebahagian daripada masyarakat. Ini adalah peluang untuk mereka merasakan kebebasan jiwa dan persekitaran yang merdeka,” katanya.
Menurut Amal, selaras dengan hasrat LBS yang sentiasa memberikan khidmat baik kepada masyarakat melalui CSR, syarikat itu memberikan sumbangan berupa barangan elektrik dan peribadi untuk kegunaan harian penghunipenghuni di Rumah Perantaraan Kuala Lumpur.
Sumbangan itu katanya, diharap dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam hidup mereka.
“Sebenarnya, apa yang telah dibuat pada hari ini memberi kemudahan dan meningkatkan kualiti hidup penghuni di sini dan menyediakan mereka satu peluang untuk hidup di tempat baharu.
“Kita juga berusaha untuk memastikan penghuni di sini mendapat persekitaran yang disokong untuk meningkatkan proses pemulihan mereka. LBS juga mengharapkan sokongan komuniti di luar sana, terutamanya tahap penerimaan masyarakat lebih baik dan positif terhadap golongan ini,” ujar beliau.
Sempena program Jejak Bebas Merdeka 2024, penghuni Rumah Perantaraan Kuala Lumpur bersama wakil LBS dan Sinar Harian turut bersama-sama menghiasi rumah berkenaan dengan bendera Jalur Gemilang, menyanyikan lagu bertemakan kemerdekaan dan memotong kek tanda kesyukuran.
Program itu turut disertai Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Kuala Lumpur, Timbalan Komisioner Penjara Aminon Adnan; Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah, Ketua Inspektor Penjara Sohedi Ismail serta Fasilitator dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim.
Buang stigma negatif kepada bekas banduan
Aminon berkata, Rumah Perantaraan Kuala Lumpur itu mampu menempatkan 20 bekas banduan atau prospek pada satu-satu masa untuk tempoh tertentu, sebelum kembali kepada masyarakat.
Jelasnya, sepanjang berada di situ, prospek akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dan pada masa sama, menjalankan aktiviti sosial untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, program ini sangat positif untuk pembentukan dan pemulihan kehidupan mereka dalam komuniti.
“Di sini, mereka dapat berasimilasi balik dengan komuniti. Kalau dalam penjara, hanya dalam kelompok mereka sahaja tapi dengan adanya program sebegini, kita bawa masyarakat bertemu dengan mereka.
“Kita tidak mahu stigma bekas banduan sehingga menyebabkan masyarakat jadi takut sedangkan kita menjaga keselamatan mereka. Jadi, kita mahu membuang persepsi itu dengan menggalakkan program sebegini dan diharap ia berterusan pada masa depan,” katanya.
Ujar Aminon, Jabatan Penjara berusaha sedaya upaya untuk membentuk kembali sahsiah prospek dan selepas mengikuti Program Pelan Pembangunan Insan (PPI), banyak perubahan yang berlaku.
Bagaimanapun katanya, ia memerlukan sokongan dan keyakinan masyarakat serta keluarga supaya prospek dapat menjalani kehidupan yang lebih baik apabila dibebaskan.
“Apa yang penting ialah kita jangan putus asa dan berikan mereka peluang kedua. Kita perlukan keyakinan daripada masyarakat, terutamanya keluarga sebab pada akhirnya kalau keluarga tak terima, macam mana dengan mereka?
“Bagi prospek, merdeka ini luas. Bebaskan diri mereka daripada belenggu yang membolehkan mereka dipenjara dan ke arah yang lebih baik, itu juga merdeka bagi mereka,” katanya.
Fasilitator dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim turut senada dan menyatakan bahawa masyarakat yang mengasingkan bekas banduan sebenarnya masih dijajah oleh pemikiran yang buruk.
Malah katanya, setiap orang baik juga mempunyai kisah silam manakala yang ‘orang jahat’ tetap mempunyai masa hadapan.
Bebas dadah dan jenayah adalah merdeka bagi kami
Bagi Azli, 57, yang berasal dari Sepang, Selangor, kehadiran wakil LBS dan Sinar Harian ke Rumah Perantaraan Kuala Lumpur amat besar maknanya bagi dia yang menghitung hari untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Hampir dua bulan di situ, Azli mengakui amat gembira dengan kehadiran pelbagai peringkat masyarakat yang masih menaruh keyakinan dan harapan buatnya dan rakanrakan yang lain.
“Setiap minggu juga ada lawatan daripada pihak keluarga. Bagi saya, erti merdeka ialah menunggu hari pembebasan yang tidak lama lagi dan berharap dapat jalani kehidupan seperti biasa.
“Terima kasih kepada pihak LBS dan Sinar Harian yang sudi datang santuni kami dan jenguk. Sekurang-kurangnya kami rasa ada pihak yang sudi menyokong. Bila dibebaskan, perkara pertama yang saya nak lakukan ialah jumpa anakanak dan isteri.
“Kemudian, saya nak kerja semula untuk mencari pendapatan dan bersama keluarga, sambil itu rancang nak bercucuk tanam,” jelasnya.
Bagi Yusof, 54, dari Johor Bahru, kesilapannya terjerat dengan dadah hampir memusnahkan hidupnya.
Justeru, dia bertekad untuk memerdekakan diri daripada dadah dan jenayah sebaik sahaja kembali kepada masyarakat, sekali gus diberi peluang kedua untuk meneruskan sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.
Malah, dia turut berjanji untuk memperbaiki diri dan mencari kerja tetap selepas ini, selain mendapatkan kembali keyakinan keluarga dan masyarakat terhadapnya. Seorang lagi penghuni Rumah Perantaraan Kuala Lumpur, Hakim, 30, dari Kajang teruja dan gembira dengan kehadiran wakil LBS dan Sinar Harian.
“Saya di sini baru tiga hari dan masih menyesuaikan diri. Di rumah ini, banyak aktiviti yang dilakukan termasuk aktiviti kebersihan.
“Rasa gembira bila melihat pihak luar yang datang dan melakukan aktiviti bersama, sekurang-kurangnya saya tahu masih ada yang ambil tahu mengenai kami. Selepas ini, saya harap dapat bertemu dengan ibu, ayah dan kakak pula, rindu pada mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!