KPDN Pahang lupus barang rampasan lebih RM809,205
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melupuskan pelbagai barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM809,205 pada Khamis.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, barangan yang dilupuskan itu melibatkan rampasan bagi sembilan kes di bawah pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagang 2019 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dari tahun 2023 sehingga 2024.
Menurutnya, barang kes terbabit telah selesai proses mahkamah dan kompaun serta mendapat kebenaran untuk dilupuskan.
"Antara barangan yang dilupuskan termasuk alat ganti kenderaan, tangki tambahan kenderaan yang telah diubah suai, peralatan dan dokumen berkait aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, KPDN Pahang telah memeriksa 49,186 premis dan 489 kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan lebih RM1,889,770.
"Turut dikeluarkan kompaun bernilai RM355,650 melibatkan 428 kes manakala sembilan kes lagi didakwa di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan berjumlah RM311,000," ujarnya.
Sementara itu, Jezlily berkata, KPDN memberi peringatan dan amaran kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
"Orang ramai juga dialu-alukan untuk tampil membantu sebagai mata dan telinga kementerian bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!