Ekosistem, rantaian bekalan jadi pertimbangan laksana projek keperluan rakyat
PARIT BUNTAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan telah membuat dua pertimbangan penting dalam pelaksanaan projek-projek keperluan rakyat, melibatkan pertimbangan berkaitan ekosistem dan rantaian bekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberikan contoh projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), yang menyaksikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah diarahkan untuk menyelaraskan kedua-dua pertimbangan penting itu.
Perdana Menteri berkata, apabila kedua-dua pertimbangan itu sudah diselaraskan, kelulusan dalam memberikan kemudahan kepada rakyat dapat dipermudahkan, selain melibatkan kos yang lebih munasabah.
"Saya telah minta ini (penyelarasan) disegerakan, kita minta jaringan lebuh raya baharu untuk masuk ke kawasan ini. Ini telah diluluskan dengan peruntukan tambahan untuk keperluan projek KIGIP. Ini tanggungan Kerajaan Persekutuan, yang lain saya percaya dapat dikendalikan oleh kerajaan negeri dan tentunya syarikat.
"Ini satu projek berbeza dengan yang lain, dengan urusan dana itu banyak dikendali oleh swasta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah KIGIP dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Perdana Menteri berkata, ekosistem lengkap untuk masyarakat perlu meliputi pembangunan pendidikan khususnya dalam memastikan tenaga kerja di KIGIP diberikan keutamaan kepada anak tempatan di Kerian dan kawasan sekitar.
"Jadi mulai hari ini, SD Guthrie harus memikirkan (mengenai) pelabur, jenis pelaburan, pekerjaan, latihan pengkhususan dan beri keutamaan kepada anak-anak utara Perak ini ataupun Bagan Serai, Nibong Tebal (Pulau Pinang) sedikit untuk mendapat latihan.
"Kalau ada TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan teknologi (institusi) yang berdekatan saya akan minta supaya SD Guthrie mengambil alih institut ini dan memberikan latihan yang diperlukan kerana latihan itu mengambil masa dua ke tiga tahun," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan kemampuan PNB dan SD Guthrie dalam melaksanakan projek KIGIP yang dilihat ke hadapan dari segi perancangan dan pelaksanaannya.
Selain itu, Anwar berkata, Kerian akan muncul sebagai daerah utama dari sudut industri dan teknologi hijau di rantau Asia Tenggara.
"Dan saya percaya Kerian akan beri manfaat kepada rakyat, sebab itu saya minta supaya soal ekosistem, rantaian bekalan disediakan segera supaya rakyat Kerian itu tidak terpinggir.
"Apa guna kita bangunkan (KIGIP) kalau rakyat sendiri terpinggir, tersingkir dari arus perdana. Maka anak-anak muda dari sekolah, pusat latihan Kerian daripada sekarang harus diberikan ruang dan peluang serta keutamaan untuk diberikan latihan untuk masuk bekerja di KIGIP ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!