Remaja maut dirempuh bas ketika cuba memotong

Bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai pada Jumaat. - Foto Ihsan PDRM.
Bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai pada Jumaat. - Foto Ihsan PDRM.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggang bertembung dengan bas ekspres selepas gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer 95, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Manjor di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 12.10 tengah malam itu menyebabkan Mohamad Nazrul Shah Mohd Sakari, 19, mengalami kecederaan parah di bahagian muka, tangan dan dada.

Katanya, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia semasa diberikan rawatan di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, bas ekspres dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda C100 dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai cuba memotong kenderaan di hadapannya dan berada di garisan tengah jalan.

Motosikal yang ditunggang Mohamad Nazrul Shah terbabit kemalangan di Kuala Krai. Foto Ihsan PDRM.
Motosikal yang ditunggang Mohamad Nazrul Shah terbabit kemalangan di Kuala Krai. Foto Ihsan PDRM.

"Pemandu bas ekspres yang berada di laluannya cuba mengelak daripada berlanggar, namun tidak sempat lalu merempuh motosikal mangsa akibat jarak yang terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, pada Jumaat.

Menurut beliau, semasa kejadian terdapat 45 penumpang di dalam bas ekspres berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu bas dan kesemua penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai,” katanya.

Tambah Mazlan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!