Tanah jerlus: Operasi SAR hari kelapan guna pam elektrik kapasiti tinggi

Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini bersiap sedia untuk meneruskan operasi mencari mangsa tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, 23 Ogos lepas. Foto Bernama
Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini bersiap sedia untuk meneruskan operasi mencari mangsa tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, 23 Ogos lepas. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pam elektrik berkapasiti tinggi digunakan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini pada Jumaat.

Pam elektrik itu diguna bagi menurunkan paras air sehingga 0.76 meter (2.5 kaki) dari dasar paip supaya pasukan SAR boleh meneruskan penelitian semula jajaran paip dari lurang kumbahan 1 (lokasi kejadian) sehingga lurang kumbahan 2 (Wisma Yakin).

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dimaklumkan pencarian pasukan SAR pada Khamis malam tadi diteruskan sehingga 6 pagi, Jumaat.

"Selain tiga pam elektrik berkapasiti tinggi, jentera berat juga telah digunakan bagi membantu melaksanakan kerja-kerja penebukan untuk membolehkan saluran paip penyedut tambahan yang dibawa oleh Indah Water Konsortium (IWK) digunakan untuk menurunkan paras air seminima yang mungkin.

"Pasukan SAR telah berusaha untuk memasuki saluran paip kumbahan secara 'man entry' melalui lurang kumbahan 1 dan 2, namun gagal kerana faktor laluan yang sempit dan peningkatan gas dalam saluran yang amat berisiko kepada pasukan SAR," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan, SAR diteruskan pada hari kelapan dengan komitmen yang padu dari semua agensi yang terlibat.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL serta IWK.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, sepasukan bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi melibatkan seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang menjadi mangsa tanah jerlus.

Artikel Berkaitan:

Antara cabaran pasukan penyelamat ialah berdepan 100 tan tekanan air di dalam pembentungan selain objek lain yang menjadi risiko perlu ditempuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan pada Khamis, menyatakan operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kelak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!