Mohd Yusoff pangku jawatan Pengarah JKDNKA Bukit Aman

Mohd Kamarudin (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mohd Yusoff pada majlis serah terima tugas Pengarah JKDNKA di Pulapol Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Mohd Kamarudin (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mohd Yusoff pada majlis serah terima tugas Pengarah JKDNKA di Pulapol Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Mohd Yusoff Mamat memangku tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, berkuat kuasa pada Jumaat.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) memangku jawatan itu susulan persaraan Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, JKDNKA dikenali sebagai peneraju utama yang berperanan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman negara.

"Jabatan ini pemilik tunggal entiti pasukan khas yang mengawal selia setiap sudut perincian sempadan negara iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Polis Marin (PPM).

"Selain itu, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/ PSK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JKDNKA di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Razarudin berkata, kewibawaan dan ketegasan Mohd Kamarudin dalam menerajui jabatan itu berjaya memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat memenuhi teras dan strategi keselamatan sebagaimana ketetapan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA).

“Umpama hilangnya sebutir permata berharga, persaraan beliau suatu kehilangan besar kepada PDRM.

Artikel Berkaitan:

“Saya mewakili sekalian warga Sang Saka Biru mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan selama lebih 36 tahun bersama pasukan keramat ini,” katanya.

Razarudin berkata, beliau juga merakamkan ucapan tahnia kepada Mohd Yusoff di atas pelantikan sebagai pemangku Pengarah JKDNKA.

“Diharapkan beliau (Mohd Yusoff) dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna dan cemerlang,” katanya,

Mohd Kamarudin mula menyertai PDRM pada 5 Jun 1988 sebagai Kadet Asisten Superintenden (ASP) dan seterusnya memulakan penugasan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Kelantan pada Mac 1990.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!