Al-Quran simbol perpaduan ummah seluruh dunia - Duta Turkiye

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika menghadiri Malaysia #Quranhour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini. Foto Bernama
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika menghadiri Malaysia #Quranhour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengisian surah al-Jumuah dan al-Hujurat sempena bulan kemerdekaan perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yükse berkata, al-Quran perlu menjadi pegangan bagi memperkasakan kesatuan umat Islam dalam mendepani pelbagai cabaran.

Menurutnya, makna kebebasan itu bukan hanya diungkap secara lisan, namun perlu diisi dengan elemen kerohanian.

“Al-Quran sememangnya simbol kepada perpaduan ummah di seluruh dunia dan semua umat Islam perlu menghayati isi kandungannya bagi memastikan ilmu yang disampaikan itu diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

“Cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam di dunia semakin mencabar, jadi dengan membaca dan memahami konteks setiap ayat suci itu akan memperkukuh perpaduan yang sedia terjalin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke program Malaysia #Quranhour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat.

Emir Salim (kiri) bersama Hussamuddin selepas Program Malaysia #QuranHour.
Emir Salim (kiri) bersama Hussamuddin selepas Program Malaysia #QuranHour.

Turut hadir ke program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub

Artikel Berkaitan:

Program yang bertemakan 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' itu mengambil panduan daripada surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat.

Mengulas lanjut, menurut Emir Salim, program bacaan al-Quran sempena Hari Kebangaaan wajar dilakukan setiap tahun.

Tambah beliau, Islam perlu dijadikan sebagai cara hidup yang tidak boleh dipisahkan daripada aspek sosial.

“Jiwa yang bebas perlu dimaknai dengan ukhwah dan tauhid kepada ALLAH SWT,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!