MQH2024: Al-Quran landasan terbaik realisasi Rukun Negara
PUTRAJAYA - Penganjuran program Malaysia #QuranHour 2024 membuktikan al-Quran merupakan landasan terbaik dalam merealisasikan makna sebenar Rukun Negara.
Pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris berkata, walaupun Rukun Negara sudah digariskan dengan baik tetapi pelaksanaannya memerlukan platform atau rujukan yang kukuh seperti kalam ALLAH.
“Program hari ini sangat bagus kerana ia tidak bersifat teori tetapi bersifat praktikal. Menerusi cara inilah sebenarnya kita nak menghidupkan dan berinteraksi dengan al-Quran.
“Penggunaan surah al-Jum'ah dan juga al-Hujurat juga bagus kerana dalam agama, ia bukan soal hubungan dengan ALLAH. Tapi ia juga adalah soal hubungan dengan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke program Malaysia #Quranhour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat.
Turut hadir ke program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub
Program yang bertemakan 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' itu mengambil panduan daripada surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat.
Dalam pada itu, Amin memaklumkan, usaha terbaik dalam mengintegrasikan nilai Rukun Negara dengan ajaran Islam adalah kaedah penyampaian yang betul dan konsisten.
“Pertama, bila menyampaikan apa-apa mesej ia mesti sesuai dengan tahap pemikiran golongan sasaran. Jangan kita guna bahasa yang terlalu bombastik terutamanya kepada golongan muda.
“Akhir sekali, ‘krik-krik’ sebab orang tak faham. Jadi, kaedah menyampaikan mesej perlu dititikberatkan. Kedua, ia mesti dilakukan secara konsisten dan insya-ALLAH mesej berkenaan akan diterima dengan mudah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, surah al-Hujurat dan al-Jumu’ah memberikan panduan lengkap transformasi individu berasaskan Rukun Negara.
Menurutnya, prinsip pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan dalam Rukun Negara membuktikan bahawa manusia tidak boleh bergantung kepada kekuatan manusia semata.
“Manusia ini lemah dan boleh menindas sesama manusia. Sebaliknya, menghambakan diri kepada ALLAH bakal membawa kepada kebebasan dan kemerdekaan.
“Diharapkan selepas selesainya program Malaysia #QuranHour kali ini, ia tidak akan terhenti begitu sahaja.
“Bagi mereka yang tinggal berdekatan masjid atau mana-mana rumah ngaji, boleh teruskan program taddabur dalam memaknai ayat al-Quran agar pemahaman dan penghayatan Rukun Negara melalui perspektif kitab suci dan sunah diteruskan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!