Tanah jerlus: SAR secara penyelaman terlalu berisiko, kata bomba

Pasukan SAR sekali lagi melakukan selaman di dalam saluran kumbahan berhampiran lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India jam 4 pagi tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk baharu. Foto Bernama
Pasukan SAR sekali lagi melakukan selaman di dalam saluran kumbahan berhampiran lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India jam 4 pagi tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk baharu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merumuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dengan kaedah penyelaman adalah terlalu berisiko.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu dirumuskan selepas selaman oleh dua penyelam skuba 4 pagi tadi tidak berhasil setelah hampir setengah jam.

Beliau berkata, antara faktor risiko yang dikenal pasti ialah aliran air bawah tanah yang deras, ruang yang sempit untuk pasukan penyelamat dan sisa-sisa sampah serta 'backlog' yang keras di kawasan carian.

"Selepas kita berbincang, secara taktikalnya dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang yang masuk dalam (pagi) tadi, saya dapat putuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

"Kita buat beberapa percubaan dari 5 petang semalam sehingga 1 pagi tadi, beberapa kali kita turun dan kita pecahkan (backlog) tetapi didapati memang mustahil, sangat sukar untuk kita pecahkan lemak tepu itu seperti bongkah simen, kita tembak pun tak pergi, kaedah tarik guna tali sehingga lapan orang pun tidak bergerak," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini pada Jumaat.

Nor Hisham Mohammad (kanan) pada sidang media berkenaan seorang wanita warganegara India yang terjatuh lalu tertimbus tanah jerlus di Masjid India pada Khamis. Foto Bernama
Mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan Meter susulan tanah jerlus pada 8.22 pagi, Jumaat lepas.
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nor Hisham Mohammad (kanan) pada sidang media berkenaan seorang wanita warganegara India yang terjatuh lalu tertimbus tanah jerlus di Masjid India pada Khamis. Foto Bernama Mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan Meter susulan tanah jerlus pada 8.22 pagi, Jumaat lepas. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Nor Hisham, kaedah penyelaman oleh seorang anggota bomba dan seorang lagi pekerja kumbahan yang biasa dengan reka bentuk saluran itu, dibuat selepas paras air berjaya diturunkan dengan kaedah pengepaman.

"Jadi kita masuk kira-kira 20 minit, 18 meter ke dalam dan kita dapati apabila sampai situ, tiada ruang untuk orang nak masuk, jadi tak boleh nak pergi, ruang itu sangat sempit, penyelam pun terpaksa meniarap untuk masuk.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama, berlaku peningkatan air jadi kita telah bersetuju untuk keluarkan pasukan skuba kerana terlampau berisiko tinggi. Itu yang kita buat semalam," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pihak JBPM juga ada menghantar dua unit kamera dalam air di kawasan SAR dan setakat ini antara imej yang dirakam kamera itu termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.

"Walaupun kita dapat imej-imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan bahawa itu milik kepada sesiapa sebab dalam itu memang macam-macam, tapi ada imej kain yang dua-dua kamera itu rakam.

"Jadi kita kata itu yang kita dapat tetapi suka saya maklumkan secara nyatanya berdasarkan kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej jasad sebab gelora (turbulence) air bergerak begitu," katanya.

Justeru, beliau berkata, JBPM akan mengadakan mesyuarat bersama pihak terlibat dalam operasi SAR itu di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) petang ini, untuk menentukan hala tuju operasi termasuk kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk pencarian mangsa dan jalan mana yang akan ditutup secara berterusan.

Ditanya, adakah pasukan penyelamat 'mati kutu' untuk memikirkan kaedah mencari mangsa, beliau berkata, kaedah yang ada terlalu berisiko untuk anggota penyelamat dan perkara itu perlu dipertimbangkan antara risiko dengan kebarangkalian.

Mengulas lanjut, beliau berkata dirinya kehilangan kata-kata sewaktu meninjau aktiviti SAR jam 4 pagi tadi, kerana terlalu risau akan keselamatan pasukan penyelam yang perlu meniarap dan merangkak di kawasan sempit itu.

"Kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki, kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada 'kesan piston' daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, jadi sangat bahaya," katanya.

Ditanya, apakah masih ada harapan untuk menemui mangsa selepas operasi SAR memasuki hari kelapan, Nor Hisham berkata peluang itu agak tipis.

"Maksudnya kalau dengan kaedah sekarang ini, kita rasakan itu tipislah kecuali kita ada kaedah lain," katanya.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!