Mangsa rentung dikenal pasti dua beradik

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kejadian kemalangan di Jalan Kapayan berhampiran KKIA, Kota Kinabalu awal pagi Jumaat.
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kejadian kemalangan di Jalan Kapayan berhampiran KKIA, Kota Kinabalu awal pagi Jumaat.
A
A
A
KOTA KINABALU - Dua mangsa rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kapayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dekat sini, awal pagi Jumaat telah dikenal pasti sebagai dua beradik.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, dua mangsa wanita termasuk seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berusia 20-an menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang bergerak dari arah Tanjung Aru menuju ke Putatan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda yang berada di lorong kanan telah melanggar Perodua Axia yang dinaiki dua wanita terbabit.

"Akibat kejadian itu menyebabkan kereta mangsa berpusing masuk ke lorong tengah lalu melanggar bahagian tepi kanan sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva sebelum terbabas ke bahu jalan berdekatan jejantas lalu terbakar," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Artikel Berkaitan:


Kasim berkata, kedua-dua mangsa di dalam kereta terbabit telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh doktor Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

"Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tersebut telah ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!