Nuh Travel and Tours tawar promosi pakej istimewa hingga 9 September ini
PETALING JAYA - Penyedia utama perkhidmatan pelancongan dan ziarah untuk umat Islam, Nuh Travel and Tours menjalinkan kerjasama strategik bersama Saudi Airlines (Saudia) dan Emirates Airlines bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan umrah ziarah serta pelancongan yang lebih kompetitif sesuai untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi, Mohammad Adam Jalalel Din berkata, menerusi kerjasama tersebut pihaknya menyasarkan 6,000 pelanggan termasuk 4,500 untuk pelancongan muslim manakala1,500 bagi menjalankan ibadat umrah.
Menurutnya, ini kerana pelbagai pakej istimewa telah ditawarkan antaranya umrah enam kota Saudi, umrah ziarah Dubai, umrah ziarah Milan dan Switzerland serta pakej pelancongan muslim Swiss-Milan
"Sempena kerjasama ini dan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024, kami menawarkan promosi khas sehingga 9 September yang mana harga pakej umrah enam kota Saudi bermula dari RM7,990 dengan penerbangan Saudi Airlines. Pelanggan akan dibawa melawat enam kota paling terkenal di Saudi seperti Mekah, Madinah, Jeddah, Badr, Al-Ula, dan Taif.
"Bagi pakej umrah ziarah Dubai pula, harga yang ditawarkan bermula dari RM8,090, termasuk lawatan ke Kota Dubai dan penginapan di hotel Menara Jam di Mekah. Pakej ini menggunakan penerbangan Emirates Airlines
"Manakala pakej umrah ziarah Milan dan Switzerland bermula dari RM12,990 dengan penerbangan Saudi Airlines dan peluang untuk lawatan percuma ke Mount Titlis bernilai RM600. Selain itu, pakej pelancongan muslim Swiss-Milan bermula dari RM6,990 dengan penerbangan Emirates Airlines," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Rakan Strategik Kembara Muslim dan Pakej Umrah Ziarah Dubai pada Khamis.
Tambah beliau, pihaknya yakin kerjasama dengan Saudia dan Emirates Airlines mampu membantu syarikat mencapai sasaran itu kerana pakej yang ditawarkan lebih menyeluruh dan berkualiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel and Tours, Abdul Halim Aliumar memberitahu, kerjasama tersebut dilakukan bagi memberi pengalaman yang berbeza kepada pelanggan bermula hari pertama hingga pulang ke Malaysia.
Jelasnya, selain itu ia juga memberi keyakinan kepada syarikat dalam menguruskan pakej umrah dan pelancongan terutamanya melibatkan tiket kapal terbang.
"Kerjasama dengan Saudia dan Emirates Airlines memberi kelebihan dari sudut jadual penerbangan kerana kami sudah atur dari sekarang bukannya bila mahu pergi baru cari tiket.
"Sebab biasanya ada pelanggan yang menanyakan tiket kapal dulu sebelum membuat tempahan. Lagipun sekarang banyak isu tipu umrah mungkin mereka risau namun dengan Nuh Travel and Tours bukan sahaja terjamin malah bakal menikmati pengalaman yang menarik," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengurus Jualan Saudia, Azman Ahmad berkata, pihaknya mencari agensi pelancongan yang boleh dipercayai dan mempunyai kredibiliti untuk mengadakan kerjasama seterusnya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
"Itu yang ada pada Nuh Travel and Tours. Kita mahu semua pelanggan terutama jemaah umrah gembira memilih kami. Tiada lagi kegusaran sama ada percaya atau tidak untuk memilih pakej yang ditawarkan.
"Saudia menyediakan perkhidmatan terbaik di dunia. Selain itu, kerjasama ini juga dapat membuka mata orang ramai mengenai penerbangan kami yang menawarkan pelbagai destinasi seperti Eropah dan lain- lain negara, bukannya untuk umrah semata-mata," ujarnya.
Bagi Pengarah Mal Central Travel, Arif Afendi, pihaknya berbesar hati kerana dapat membantu Nuh Travel and Tours menyediakan pakej yang selesa kepada pelanggan mereka.
"Pakej selesa itu termasuk menggunakan penerbangan Emirates Airlines. Maklumbalas sebelum ini rata-rata pelanggan memberi respon positif, jadi bila Nuh Travel menawarkan pakej baharu iaitu Umrah Ziarah Dubai, kami sedia untuk kerjasama.
"Kami akan memastikan tiket sentiasa cukup untuk pelanggan mereka," katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari nuhtravel.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!