11 daerah dikenal pasti sebagai daerah menua - DOSM

Sebelas daerah di negara ini dikenal pasti sebagai daerah menua. Foto hiasan 123RF
Sebelas daerah di negara ini dikenal pasti sebagai daerah menua. Foto hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebelas daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai 7.0 peratus, demikian mengikut statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang diterbitkan pada Jumaat.

Laporan berkenaan memaparkan anggaran penduduk di peringkat negeri dan daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dan 2024.

Daerah yang terlibat ialah Beluru, Telang Usan, Mukah di Sarawak, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor di Selangor, Muallim (Perak), Tenom (Sabah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Segamat (Johor).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) tertinggi pada 2024 dicatatkan di Kecil Lojing dengan 33.8 peratus, diikuti Gua Musang (33.4 peratus) dan Tumpat (32.3 peratus) di Kelantan.

"Sebauh, Sarawak mencatatkan peratusan penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) tertinggi dengan 79.5 peratus, diikuti Kinabatangan, Sabah (78.4 peratus) dan Belaga, Sarawak (78.3 peratus) manakala Lubok Antu, Sarawak mempunyai penduduk umur tua paling tinggi (65 tahun dan lebih) dengan 15.1 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tiga kategori penuaan iaitu ageing society, aged society dan super-aged society iaitu masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah tujuh peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

Berpandukan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), penuaan ialah apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata Petaling, Selangor merupakan daerah yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai pada 2024 dengan 2.4 juta, diikuti Johor Bahru, Johor (1.8 juta) dan Ulu Langat, Selangor (1.5 juta).

Artikel Berkaitan:

Daerah Kinabatangan dan Kalabakan di Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi dengan 9.6 peratus, diikuti Cameron Highlands, Pahang (8.4 peratus).

Sementara itu, tiga daerah di Sarawak mempunyai bilangan penduduk paling rendah iaitu dengan 7,900 penduduk di Tanjung Manis, diikuti oleh Song (10,300) dan Bukit Mabong (10,600). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!