Sedania catat pendapatan ketara dalam tempoh transformasi syarikat
SYARIKAT pemegang pelaburan yang memberi tumpuan kepada perniagaan ke arah kelestarian, Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatatkan pendapatan RM78.3 juta untuk penyata kewangan penuh 18 bulan yang belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
Jumlah itu meningkat ketara berbanding pendapatan RM38.35 juta bagi tempoh 12 bulan yang telah diaudit untuk tahun kewangan 2022.
Prestasi tersebut menunjukkan pertumbuhan yang dipergiat semasa tempoh transformasi syarikat, walaupun mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM570,000 bersandarkan penyusutan nilai sekali bagi segmen Tenaga Lestari.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, ia menunjukkan titik permulaan yang penting dalam perjalanan transformasi dengan prestasi suku semasa yang mencerminkan keputusan strategik diambil untuk kalibrasi segmen berkenaan.
“Kemajuan perniagaan yang dicapai setakat ini dalam segmen barangan pengguna cepat laris (FMCG) Lestari dan Teknologi Pengguna Lestari sudah menunjukkan kami sedang menuju ke arah model perniagaan yang lestari.
“Dalam melangkah ke fasa baharu, kami komited untuk memastikan tempoh kalibrasi strategi ini melahirkan pertumbuhan mampan di samping mencipta nilai untuk pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan pada Jumaat.
Sadania turut mengumumkan prestasi bagi Suku Keenam (6Q2024) dan keputusan kewangan penuh 18 bulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, prestasi pendapatan yang positif dengan
trajektori yang meningkat membuktikan ketahanan model perniagaan berorientasikan pengguna syarikat.
“Dengan peralihan kepada sektor kepenggunaan, kedayasaingan perniagaan teras kami bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan kami untuk menghadapi sebarang cabaran, tetapi juga menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan mampan pada masa akan datang.
“Melihat ke hadapan, strategi kami untuk menumpukan usaha kami dalam segmen FMCG Lestari dan segmen Teknologi Pengguna Lestari dijangka akan meningkatkan pertumbuhan pendapatan,” ujarnya.
Beliau menyatakan teruja dengan prospek pertumbuhan baharu yang digerakkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Hock Guan dan disokong oleh pasukan pengurusan.
Menurutnya, Ahli Lembaga Pengarah baharu Sedania, Tun Md Raus Sharif selaku bekas Ketua Hakim Negara juga menyumbang
pandangan dan perspektif yang bernas serta strategik.
“Objektif strategik Sedania untuk tahun kewangan akan datang 2025 adalah untuk mengembang dan memupuk pertumbuhan dinamik semua segmen perniagaan kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!