Rundingan gencatan senjata di Gaza tidak boleh terus ditangguh - Duta China

Anggota Majlis Keselamatan PBB menghadiri mesyuarat mengenai situasi di Timur Tengah di ibu pejabat PBB di New York. Foto AFP
Anggota Majlis Keselamatan PBB menghadiri mesyuarat mengenai situasi di Timur Tengah di ibu pejabat PBB di New York. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza tidak boleh terus ditangguhkan, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang.

Beliau berkata, China menyelar segala serangan menyasarkan penduduk awam dan menentang tindakan kekerasan yang melanggar undang-undang antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat Sungai Jordan dengan bertopengkan rundingan damai.

Geng Shuang membuat gesaan itu semasa mesyuarat sementara Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung situasi kemanusiaan di Gaza pada Khamis.

Menurut beliau, konflik yang berlarutan selama lebih 10 bulan di Gaza telah mengakibatkan lebih 40,000 penduduk terkorban serta malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tindakan Israel memperhebat sekatan terhadap agensi kemanusiaan PBB dan menghalang pengangkutan bekalan seperti bahan api terus merosakkan sistem bantuan kemanusiaan di Gaza.

Geng Shuang turut mengecam keras tindakan Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi UNSC dengan memperluas penempatan haram Yahudi dan menahan serta menyerang warga Palestin di Tebing Barat.

Beliau menggesa supaya empat resolusi UNSC berhubung situasi Gaza dilaksanakan secara menyeluruh ke arah mewujudkan gencatan senjata yang berkekalan dan meredakan malapetaka kemanusiaan dengan berkesan. - Bernama-CMG

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!