Pemilik syarikat rasuah kakitangan MBSA dijel sehari, denda RM30,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pemilik syarikat perkhidmatan pembersihan dihukum penjara sehari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas satu pertuduhan memberi rasuah RM3,500 kepada kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), empat tahun lalu.

Mohammad Zaki Jamian, 44, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan itu kepada seorang pembantu tadbir perkeranian/operasi MBSA melalui satu akaun bank atas nama sebuah syarikat milik tertuduh.

Suapan itu sebagai upah kepada individu berkenaan untuk menyediakan laporan bergambar kerja pembersihan dan tidak mengenakan tindakan ‘Notice To Correct’ (NTC) bagi tuntutan bayaran Tawaran Semula Cadangan Perkhidmatan Pembersihan Gerai Majlis di Zon SA G12, Seksyen 24 (24A,24B & 24C), Shah Alam untuk MBSA bagi September 2020 hingga Disember 2021.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Takal 15/21 di sini antara Oktober 2020 hingga Disember 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alimi Mustapha memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kesalahan tersebut ialah serius.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dia dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung keluarga.

“Saya insaf dan menyesal atas perbuatan itu, saya menghidap strok dua tahun lalu yang memerlukan rawatan setiap minggu selain mempunyai pendapatan RM3,500 sebulan,” katanya.

Ringkasan berita:

  • Hukuman:
    • Mohammad Zaki Jamian, pemilik syarikat pembersihan, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM30,000.
    • Jika gagal membayar denda, beliau akan dipenjara selama enam bulan.
  • Pertuduhan:
    • Beliau mengaku bersalah memberi rasuah RM3,500 kepada kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
    • Rasuah tersebut diberikan sebagai upah untuk menyediakan laporan kerja pembersihan dan mengelakkan tindakan 'Notice To Correct' (NTC).
  • Kesalahan:
    • Kesalahan dilakukan antara Oktober 2020 hingga Disember 2021 di Shah Alam.
    • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
  • Rayuan:
    • Tertuduh merayu hukuman ringan kerana menghidap strok dan perlu menanggung keluarga dengan pendapatan RM3,500 sebulan.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!