Polis siasat laporan gangguan seksual pegawai bank

Azizi (Tangkap layar menunjukkan demonstrasi anjuran NUBE yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan yang gagal mengambil tindakan terhadap suspek. Foto Ihsan pembaca)
Azizi (Tangkap layar menunjukkan demonstrasi anjuran NUBE yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan yang gagal mengambil tindakan terhadap suspek. Foto Ihsan pembaca)
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual melibatkan kakitangan sebuah bank cawangan Bercham dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan sebaik menerima laporan daripada kerani bank yang berusia 38 tahun pada 16 Ogos lalu.

"Wanita terbabit mendakwa telah diganggu secara seksual oleh rakan setugasnya yang juga pegawai bank berusia 52 tahun sekitar tahun 2021.

"Pihak polis telah merakam percakapan mangsa dan suspek bagi melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Azizi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular video demonstrasi anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), Selasa lalu yang turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan yang gagal mengambil tindakan terhadap suspek.

Mengulas lanjut, Azizi berkata, perhimpunan itu bagaimanapun berjalan dengan aman tanpa sebarang kekecohan mahupun pergaduhan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melanggar mana-mana kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa juga diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membuat laporan terhadap sebarang salah laku gangguan seksual di tempat kerja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!