Rakyat perlu suburkan perpaduan, hindari isu 3R - Sultan Selangor
SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah seluruh rakyat bertanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan dengan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan kaum, agama dan raja (3R).
Baginda bertitah, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, pemikiran rakyat seharusnya tidak diracuni unsur-unsur negatif terutamanya dalam isu 3R.
Titah baginda institusi raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah yang berkaitan isu-isu politik yang boleh mencetuskan politik kebencian dalam kalangan rakyat.
"Institusi raja adalah di atas politik (above politics), oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan institusi raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah,” titah baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang akan disambut esok.
Sultan Sharafuddin bertitah budaya negatif itu masih diamalkan oleh sebahagian pemimpin dan ahli politik biarpun baginda sering menasihati mereka untuk mengelak daripada mencetuskan politik kebencian.
Walau bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Baginda menzahirkan harapan agar segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik tidak dijadikan penghalang untuk rakyat memberikan taat setia kepada negara.
Titah baginda perbezaan tersebut seharusnya dijadikan sebagai satu resipi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan generasi muda tentang ancaman penjajahan bentuk baharu yang melingkari generasi harapan bangsa dan negara itu, meliputi aspek pemikiran serta budaya yang berkembang seiring kepesatan teknologi maklumat khususnya media sosial.
Dalam hal itu, baginda mahu generasi muda menjadi lebih bijak dalam mendepani dan menyelesaikan segala permasalahan serta cabaran yang mendatang.
"Semangat patriotik, toleransi dan saling hormat-menghormati perlulah terus diterapkan ke jiwa generasi muda dan dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu, keharmonian yang utuh serta bebas dari sebarang elemen negatif.
"Beta yakin dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan ini akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif,” titah baginda.
Sempena Hari Kebangsaan yang akan diraikan esok, Sultan Sharafuddin berharap tujuan sambutan itu difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat, iaitu kemerdekaan bukanlah sekadar kebebasan daripada cengkaman penjajahan dan melaungkan slogan "Merdeka!” semata-mata.
Baginda bertitah kemerdekaan memerlukan pengorbanan jiwa dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri menerusi empat aspek utama iaitu agama, akhlak serta moral, pendidikan dan bahasa.
"Sempena bulan kemerdekaan ini marilah kita sama-sama bersatu hati menjadikan negara kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaya saing, maju dan makmur.
"Jauhilah dari segala amalan budaya hasad dengki, fitnah-memfitnah serta mengadu domba dan menghasut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat,” titah Sultan Sharafuddin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!