Speedy Tigers sedia gegar ACT 2024 di China

Skuad Speedy Tigers memasang hajat untuk mara ke saingan separuh akhir ACT 2024 di China bulan depan. Foto KHM
Skuad Speedy Tigers memasang hajat untuk mara ke saingan separuh akhir ACT 2024 di China bulan depan. Foto KHM
A
A
A

SKUAD hoki kebangsaan bakal dicabar juara bertahan India, Pakistan, Jepun dan tuan rumah, China dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 bermula dari 8 hingga 17 September ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memilih 19 pemain untuk menggalas cabaran Speedy Tigers yang dibimbing Sarjit Singh di Hulunbuir, Inner Mongolia, China itu.

Menurut Sarjit, skuad kendaliannya sudah melakukan persiapan dengan baik termasuk mendapat perlawanan yang cukup berkualiti sewaktu di Siri Jelajah Eropah pada bulan lalu.

Beliau berkata, pemilihan pemain juga adalah berdasarkan prestasi semasa dan turut mengambil kira keadaan fizikal pemain yang tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Barisan kejurulatihan mahu pemain tunjukkan peningkatan prestasi mereka daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, selain perlu ada penambahbaikan kualiti permainan daripada kejohanan lalu.

"Kami juga mahukan pemain konsisten apabila setiap kali turun beraksi kerana matlamat pasukan adalah mahukan perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Kejohanan ACT 2024 merupakan pertandingan ketiga pasukan kebangsaan bagi musim ini di bawah bimbingan Sarjit selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara (Nations Cup) Mei lalu.

Menyentuh mengenai sasaran, beliau berharap skuad Speedy Tigers sekurang-kurangnya mara saingan separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

"Harapan barisan kejurulatihan pastinya mahu melihat perkembangan positif pasukan dari semasa ke semasa.

"Setiap pemain mengambil tanggungjawab penuh apabila beraksi di atas padang kerana mereka membawa nama Malaysia," kata Sarjit.

Pada edisi tahun lalu di Chennai, India, Speedy Tigers muncul selaku naib juara selepas tewas tipis 3-4 kepada tuan rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!