Filem Takluk: Lahad Datu semai semangat patriotisme murid

Peserta program Jejak Sejarah teruja menonton filem Takluk: Lahad Datu di Mesra Mall, Kemaman.
Peserta program Jejak Sejarah teruja menonton filem Takluk: Lahad Datu di Mesra Mall, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN – Seramai 900 murid dari sembilan sekolah rendah di daerah ini teruja apabila berpeluang menonton filem Takluk: Lahad Datu di Mesra Mall di sini.

Program berlangsung selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis dianjurkan Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman dan Jabatan Penerangan Daerah Kemaman.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman (Sektor Perancangan), Roshali Taha berkata, aktiviti yang diadakan itu berjaya menarik minat murid sekali gus menyemai semangat patriotisme yang tinggi.

"Program dinamakan Jejak Sejarah ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada anak-anak yang masih berada di dibangku sekolah mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

"Selain menonton filem, kita juga mengadakan demonstrasi mengenai peristiwa Lahad Datu yang berlaku di negara ini di mana ia menunjukkan bagaimana anggota keselamatan menjaga keamanan.

"Walaupun selepas negara merdeka ada juga ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu keamanan negara kita," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Jelas beliau, pengorbanan anggota keselamatan yang menggadai nyawa demi mempertahankan rakyat ekoran pencerobohan tersebut menyedarkan masyarakat bahawa keamanan negara sentiasa dijaga.

Katanya, dengan adanya perwira yang bertaruh nyawa, rakyat dapat menjalani kehidupan dengan aman termasuk melakukan aktiviti di sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman menonton filem ini amat berharga buat generasi muda terutama golongan murid dan pelajar bagi menyemai perasaan cintakan negara dan jati diri yang tinggi," ujarnya.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Kemaman, Asisten Superintenden Zul Ilham Abd. Rahim.

Filem Takluk: Lahad Datu menceritakan semula kisah Krisis Pencerobohan Lahad Datu pada 2013, sebagai tanda penghargaan buat semua wira yang yang berjuang mempertahankan negara bagi menghargai pengorbanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengatasi pengganas.

Filem itu juga mempunyai misi untuk menerapkan dalam diri anak-anak semangat dan keberanian PDRM yang berjuang menentang pengganas yang menceroboh kedaulatan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!