Pemuda asal Kelantan Qari termuda Malaysia #QuranHour 2024
PUTRAJAYA - Baru menginjak usia 20 tahun, pemuda berasal dari Kelantan akui teruja dipilih untuk membaca al-Quran bersama barisan qari sempena Malaysia #QuranHour 2024.
Qari muda, Naufal Syakirin berkata, ini merupakan kali pertama dia diberikan peluang untuk menyertai program keagamaan yang memasuki tahun ke-10 itu.
"Saya memang rasa bersyukur kerana ini bukan peluang yang datang berulang kali. Jadi bagi saya, ini satu peluang keemasan untuk saya.
"Ini juga membantu untuk saya memperkembangkan nilai dalam diri bersama barisan qari yang hebat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Antara qari lain yang turut sertai Malaysia #QuranHour kali ini iaitu Husaini Mahmur, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ahmad Tirmizi Ali.
Program yang bertemakan 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' itu mengambil panduan daripada surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat.
Ujar Naufal, meskipun dirinya masih lagi kurang berpengalaman berbanding qari yang lain, namun ia menjadi pembakar semangat untuk belajar lebih mendalam mengenai pembacaan al-Quran.
"Memang jauh hendak dibandingkan dengan kehebatan dan pencapaian mereka semua tetapi saya rasa ini jalan baharu untuk saya.
"Insya-ALLAH, ini juga membentuk permulaan untuk saya dalam bidang taranum, seterusnya program-program Malaysia #QuranHour," ujarnya.
Turut hadir ke program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!