Tunggang basikal dalam keadaan mabuk di Jepun akan dipenjara, denda
TOKYO - Jepun memutuskan pada Jumaat untuk melaksanakan pindaan Akta Lalu Lintas Jalan pada 1 November, yang memperkenalkan hukuman penjara dan denda bagi mereka yang menunggang basikal di bawah pengaruh alkohol atau membahayakan lalu lintas dengan menggunakan telefon bimbit semasa menunggang, lapor Agensi Berita Kyodo.
Kerajaan juga memutuskan untuk membolehkan polis mengarahkan pesalah berulang untuk mengikuti kursus wajib mengenai keselamatan berbasikal, satu langkah yang dijangka berkuat kuasa pada hari yang sama.
Jika disabit kesalahan, mereka yang didapati menunggang basikal sambil menggunakan telefon boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sebanyak 100,000 yen (RM2,978).
Sekiranya mereka membahayakan pejalan kaki atau lalu lintas, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sebanyak 300,000 yen (RM8,936).
Mereka yang disabit kesalahan menunggang basikal melebihi had alkohol yang ditetapkan di jalan raya boleh menghadapi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sebanyak 500,000 yen (RM14,894). - Bernama-Kyodo
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!