Pearly-Thinaah raih slot separuh akhir Terbuka Korea
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dipaksa bekerja keras oleh pasangan ke-239 dunia dari Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun sebelum melangkah ke separuh akhir Terbuka Korea Selatan, pada Sabtu.
Dalam saingan suku akhir sebentar tadi, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kesembilan dunia itu diberi tentangan sengit sebelum menang straight set dalam aksi di Stadium Tertutup Mokpo, Seoul.
Pasangan negara yang tersingkir dalam saingan suku akhir Terbuka Jepun minggu lalu tidak diberi laluan mudah, namun pengalaman memihak mereka apabila menang 21-19 pada set pertama.
Chun Hsun-Chu Yun cuba bangkit dalam permainan kedua apabila mereka mengekori rapat mata pada kedudukan 14-16.
Pearly-Thinaah bagaimanapun kembali memperagakan karakter sebenar mereka untuk mengesahkan kemenangan 21-15 untuk berada dalam kelompok empat terbaik.
Menanti pasangan negara dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah beregu kedua dunia yang juga wakil tuan rumah, Baek Ha Na-Lee So Hee yang mengalahkan gandingan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min 21-18, 21-17 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!