Angkasa ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan di China
SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengetuai delegasi bagi lawatan kerja rasmi dalam menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) pada 1 hingga 4 September 2024 di Wilayah Yunnan, China.
Angkasa dalam satu kenyataan berkata, lawatan berkenaan bakal diketuai oleh Presidennya merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah akan menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi dialog perdagangan yang disertai 20 buah koperasi dari 14 negara.
“Sesi tersebut menghimpunkan pemimpin koperasi, pakar teknologi digital dan perwakilan dari seluruh rantau Asia dan Pasifik.
“Ia bertujuan untuk meneroka potensi e-dagang, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memacu kemajuan koperasi,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut Abdul Fattah, antara objektif dialog perdagangan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan e-dagang dalam kalangan pengurusan koperasi serta menambah baik perkhidmatan perdagangan melalui penggunaan digital dan teknologi tersebut.
Jelas beliau, ia termasuk menggalakkan perdagangan antara koperasi dengan koperasi bagi mengukuhkan rangkaian perdagangan serantau dan integrasi ekonomi.
Lawatan berkenaan turut disertai oleh Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Datuk Abdullah Jusoh dan Pengarah Eksekutif MyAngkasa Digital Services Sdn Bhd (MDS), Muhammad Hudhaifa Ahmad.
Angkasa memaklumkan, delegasi Malaysia turut dijadual menghadiri lawatan koperasi dan perbincangan dengan Yunnan Supply and Marketing Electronic Commerce Co Ltd, Koperasi Bunga Daerah Songmin, Yunnan Mushroom Biotechnology Co Ltd serta pertemuan rakan sejawatan dan pemimpin koperasi.
“Pertemuan itu adalah untuk membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuk potensi mengembangkan perniagaan dan perdagangan antara koperasi di Malaysia dan China,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP diwujudkan untuk memperkukuhkan amalan perdagangan dan perniagaan koperasi di seluruh rantau Asia dan Pasifik.
Sehingga kini, seramai 33 ahli daripada 19 organisasi di 13 negara menganggotai Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!