Ringgit menambah nilai 2.5 peratus berbanding dolar AS pada Julai - BNM
RINGGIT menambah nilai sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar AS pada Julai 2024 selaras dengan kebanyakan mata wang serantau, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Sorotan Bulanan Julai 2024 pada Jumaat, bank pusat berkata, mata wang Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan meningkat dengan purata satu peratus pada Julai 2024.
Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) 10 tahun menurun sebanyak 14 mata asas (bps) berbanding purata serantau -25 bps seiring dengan penurunan kadar hasil bon Amerika Syarikat (AS).
FBM KLCI didagangkan 2.2 peratus lebih tinggi berbanding purata serantau dua peratus.
"Pasaran kewangan domestik didorong terutamanya oleh perkembangan global, khususnya perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari AS,” katanya.
Para pegawai Rizab Persekutuan AS menyuarakan keyakinan bahawa bacaan terkini menunjukkan kemajuan menuju inflasi sasaran, menandakan kemungkinan pengurangan kadar dasar seawal September 2024.
Kesannya, peserta pasaran kewangan telah menilai semula jangkaan mereka terhadap kadar dasar AS kepada dua hingga tiga pemotongan kadar (Jun 2024: satu hingga dua pemotongan).
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal pada 5.5 peratus pada akhir Julai 2024 (Jun 2024: 5.5 peratus) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.2 peratus; Jun 2024: 6 peratus).
Pertumbuhan bon korporat terkumpul pula lebih sederhana pada tiga peratus (Jun 2024: 3.4 peratus).
Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah pada enam peratus (Jun 2024: 5.7 peratus), didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja, khususnya merentas sektor perkilangan dan perkhidmatan.
BNM berkata pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan.
Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal pada 6.2 peratus berikutan pengembangan stabil dalam pinjaman bagi pembelian rumah dan kereta.
Menurut bank pusat, permohonan pinjaman juga lebih tinggi, mencerminkan permintaan pembiayaan dalam kalangan peminjam isi rumah.
Mengenai kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank, bank pusat berkata ia terus menyokong aktiviti pengantaraan memandangkan sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat nisbah perlindungan mudah tunai sebanyak 150.8 peratus (Jun 2024: 155.1 peratus).
Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83 peratus (Jun 2024: 82.8 peratus).
"Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset utuh, yang menyaksikan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil, masing-masing pada 1.6 peratus dan satu peratus,” katanya.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab pengawalseliaan terus berada pada paras berhemat sebanyak 124.5 peratus daripada pinjaman terjejas (Jun 2024: 124.1 peratus), dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.4 peratus daripada jumlah pinjaman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!