67 jam siapkan mural sempena 67 tahun merdeka

Seramai 37 anggota dan pegawai BBP Besut berjaya menyiapkan mural yang dilukis pada dinding bangunan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Seramai 37 anggota dan pegawai BBP Besut berjaya menyiapkan mural yang dilukis pada dinding bangunan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.
A
A
A

BESUT - Seramai 37 anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut meluangkan masa selama 67 jam secara bergilir-gilir bagi menyiapkan mural pada dinding bangunan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini.

Ketua BBP Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, mural tersebut berlatar belakang elemen kemerdekaan dengan menggabungan ikon negeri Terengganu iaitu jambatan angkat Kuala Terengganu, bunga raya, Jalur Gemilang serta perkataan Terengganu dalam tulisan jawi yang dilakar menggunakan seni khat.

"Tema merdeka ini dilukis pada bahagian dinding seluas 12 meter persegi di bangunan balai bomba ini.

"Lukisan berkonsep kemerdekaan itu dibuat bagi menterjemahkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh warga BBP Besut,"katanya ketika ditemui di Kampung Raja di sini, pada Khamis.

Katanya, walaupun berdepan kekangan masa, pasukan penyelamat itu tetap mencari peluang untuk menyiapkan lukisan itu bagi meraikan sambutan hari kemerdekaan negara kali ini.

Sebahagian warga BBP Besut merakam gambar bersama mural yang dihasilkan.
Sebahagian warga BBP Besut merakam gambar bersama mural yang dihasilkan.

Beliau memberitahu, projek tersebut menelan belanja kira-kira RM500 ringgit hasil dana disalurkan oleh pihak ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu serta kutipan sumbangan daripada anggota BBP Besut.

"Tidak dinafikan kami berdepan kekangan masa namun kami berusaha menyiapkan mural ini dalam tempoh 67 jam sempena sambutan kemerdekaan negara buat kali ke 67 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kami bersyukur kerana projek ini berjaya disiapkan hasil kerjasama semua pihak dengan mengumpul dana dan berpadu tenaga," katanya.

Bagi merancakkan lagi acara sambutan Hari Kebangsaan, Muhammad Azrul Izzham berkata, pihaknya juga menghias dan mengibarkan jalur gemilang pada setiap sudut balai.

"Setiap ruangan pada balai ini akan dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang bagi menzahirkan penghargaan kepada wira negara dan memupuk semangat kemerdekaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!