Replika kereta klasik jadi tumpuan
JENGKA -Tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan bulan kebangsaan, penduduk di blok 8 Felda Jengka 24 mengambil inisiatif mencipta pelbagai replika daripada bahan terbuang bagi menzahirkan semangat patriotik dan cinta kepada negara.
Antaranya, replika kereta klasik model Rolls Royce yang menggunakan pelbagai bahan termasuk bakul, besi dan tayar terpakai yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.
Ketua blok, Mat Jam Ijab, 63, memberitahu, idea itu tercetus sebagai kelainan untuk tahun ini.
"Kira-kira RM300 kos dikeluarkan untuk menghasilkan replika ini hasil kutipan daripada penduduk sendiri.
"Untuk keseluruhan termasuk Jalur Gemilang, kos terlibat kira-kira RM2,000," katanya ketika ditemui di rancangan tersebut pada Jumaat.
Kereta berkenaan antara ratusan replika yang dihasilkan penduduk sempena sambutan kemerdekaan ke-67.
Turut menarik perhatian replika rumah generasi pertama Felda dan bendera gergasi yang dihasilkan penduduk di blok 11.
Ketua blok, El Baharin Idi, 63, berkata, penduduk bersama-sama turun padang membantu menyiapkan replika dan bendera berukuran 61 sentimeter (cm) lebar dan 122 cm panjang.
"Kita memulakan persiapan sejak awal bulan lepas, ia hasil kerjasama penduduk dan mengambil masa 10 hari.
"Ini juga hasil dan keinginan kita ingin mencipta kelainan pada tahun ini," katanya kos keseluruhan kira-kira RM1,200 bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu, antara replika lain yang dihasilkan seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), keris, kapal terbang,wau, kereta kebal dan meriam menghiasi rancangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Peneroka, Razak Daud, 63, menghargai dan memuji usaha semua penduduk yang terlibat bagi menjayakan sambutan terbabit.
"Tahun ini kita mencipta kelainan dengan penghasilan hampir 100 replika menggunakan bahan terbuang berbanding tahun-tahun sebelumnya fokus pada Jalur Gemilang.
"Oang ramai yang ingin datang melihat suasana di sini, kita mengalu-alukan kedatangan mereka," tambahnya terdapat 2,000 penduduk di rancangan tersebut melibatkan kira-kira 300 rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!