Cuai kendali isu Batu Puteh pengkhianatan kepada negara - PM

Anwar Foto Bernama
Anwar Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kecuaian dalam mengendalikan isu Batu Puteh adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara.

Beliau berkata, biarpun kerajaan menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tiada negara di dunia yang ingin melepaskan mana-mana kawasan dengan mudah malah sanggup berperang untuk mempertahan sebuah wilayah kecil.

"... sebab itu Kerajaan Madani setuju adakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), (untuk) putuskan apa yang sebenarnya berlaku. Mengapa negara ini, negara hebat Malaysia tercinta ini izinkan pengkhianatan begitu rupa sehingga terlepas dengan mudah tanpa gunakan jalur hukum pertahankan hak kita.

"Kalau benar orang fikir ini perkara kecil dan enteng, ada masalah pada sikap dia sebagai seorang anak Malaysia kerana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” kata beliau dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini pada Jumaat.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari lepas bersetuju menubuhkan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di Parlimen manakala syor-syor yang dikemuka akan dibahas.

Artikel Berkaitan:

Azalina berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan laporan itu dibentangkan oleh Pengerusi suruhanjaya berkenaan Tun Md Raus Sharif, yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Anwar juga berkata, perbahasan terbuka di Parlimen mengenai isu Batu Puteh akan menjadi pengajaran kepada anak bangsa selain iktibar supaya tidak mengorbankan kepentingan negara.

"Kita akan izin perbahasan terbuka di Parlimen dan luar Parlimen untuk jadi pengajaran dan iktibar kepada anak-anak bangsa pada masa akan datang bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir, keringat, air mata, darah pejuang selama ratusan tahun lawan penjajah demi penjajah dan tidak boleh dikorbankan kepentingannya," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada golongan muda agar sentiasa mempunyai semangat kemerdekaan dengan memperbanyak pembacaan dan mempelajari sejarah untuk terus mengangkat martabat negara.

Seramai 7,000 orang hadir ke majlis itu yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dan turut diserikan dengan persembahan istimewa kanak-kanak Tabika Perpaduan yang berkisarkan elemen Rukun Negara serta Bicara Eksekutif Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama bagi mengimbau insiden Lahad Datu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!