Cuepacs gesa henti fitnah penjawat awam
SHAH ALAM - Pengguna media sosial ditegaskan untuk tidak membuat sebarang tuduhan palsu mengenai dakwaan kaunter kosong kerana ketiadaan pegawai bertugas pada waktu bekerja.
Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, tuduhan tidak berasas yang dimuat naik di laman sosial itu akan memberi gambaran buruk kepada penjawat awam.
“Cuepacs memandang serius dan dengan sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab terhadap budaya menyebarkan fitnah yang bertujuan memberikan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam dan kerajaan.
“Budaya membuat sesuatu pernyataan secara umum di media sosial semata-mata untuk mendapat perhatian tidak wajar dijadikan amalan yang perlu ditoleransi apatah lagi jika perkara itu tidak dapat dipastikan kebenarannya terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, salah satu laman portal pihak pembangkang membuat laporan terhadap ketiadaan pegawai bertugas di kaunter milik kerajaan walaupun jam menunjukkan waktu bekerja sudah bermula.
Mengulas lanjut, Adnan turut mengingatkan orang ramai untuk tidak mengaitkan setiap perkara dalam perkhidmatan awam dengan sentimen politik masing-masing.
Menurutnya, kesan tuduhan itu tidak akan berhenti dengan permohonan maaf kerana ia telah menimbulkan persepsi awam yang sukar dipadamkan secara secara serta-merta.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar semua pihak memberikan penghormatan tertinggi kepada institusi perkhidmatan awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.
“Kami tidak meminta didendang tetapi cukuplah dengan penghormatan yang sewajarnya dengan memberikan sokongan secara berterusan untuk kita bersama-sama bergerak ke hadapan.
“Cuepacs juga meminta pihak berkuasa bertindak tegas terhadap individu atau organisasi yang sengaja memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap perkhidmatan awam di media sosial,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!