Sambutan Hari kebangsaan 2024 perlu dimanfaat untuk tingkatkan perpaduan rakyat - PM

Anwar menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sambutan Hari Kebangsaan 2024 esok dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, ini kerana kemerdekaan yang dikecapi hari ini dicapai kerana kekuatan rakyat yang bersatu padu.

"Saya mahu mengajak semua rakyat Malaysia agar menerima kedatangan merdeka atas kekuatan setiap bangsa yang bersatu walaupun masing-masing berbeda pendapat. Di dalam negara yang tercinta ini, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan yang secukupnya.

"Apakah mudah? Tidak mudah saudara, jikalau ada wilayah, timbul politik serpihan untuk mencari kekuatan, dia main sentimen. Kaum aku tidak mendapat habuan... rakyat yang tidak berdosa mudah ditarik dengan sentimen membakar api perkauman,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, pada Jumaat.

Anwar berkata demikian di hadapan kira-kira 7,000 tetamu daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan.

Perdana Menteri berkata perkara ini amat digeruni serta dikesali oleh pemimpin terdahulu dan bibit yang sama masih menghantui.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau yakin dengan jiwa merdeka dan semangat baharu rakyat, negara ini akan terus kekal harmoni.

"Tidak salah sekiranya masing-masing kaum membela nasib mereka...tidak salah untuk kita menetapkan Islam serta mengangkat kedudukan Islam dan kepercayaan agama-agama lain, tidak salah ada perasaan untuk menjaga rantau kita, kawasan kita, kampung kita, negeri kita.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi percayalah ini semua dapat dilakukan dengan semangat kecintaan kepada negara yang satu...," katanya.

Justeru itu, beliau mengajak orang ramai memanfaatkan kemerdekaan negara dan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai tempat untuk rakyat berpaut antara satu sama lain.

"Percayalah, negara ini hebat kerana hebat rakyatnya, negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat, angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini.

"Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan harus semua ini diperbaiki, untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin jangan pinggirkan sesiapa. Negara ini punya keupayaan," katanya.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju itu dihadiri oleh Menteri Kabinet, penjawat awam, jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, ahli Sekretariat Rukun Negara, ahli Kelab Rukun Negara, pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta dan orang awam.

Perdana Menteri turut menzahirkan hasrat dan harapan kerajaan tentang kepentingan menjiwai erti kemerdekaan serta terus menyemarakkan semangat patriotik bagi mengekalkan perpaduan rakyat seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!