Kamera badan, kes salah laku pegawai Kastam di lapangan turun

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan peranti pemakaian kamera badan (BWC) oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempertingkat tahap integriti pegawai dan anggota sepanjang tugasan operasi bendung hasil ketirisan negara.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, peranti ini mula digunakan sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, berdasarkan rekod JKDM, sebelum BWC ini digunakan, terdapat sembilan kes aduan dibuat yang melibatkan salah laku pegawai di lapangan.

"Bagaimanapun, sejak peranti ini digunakan, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan terhadap pegawai JKDM.

"BWC ini boleh menjadi 'fear factor' supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku di kalangan pegawai yang menggunakannya serta individu yang berurusan dengan pasukan operasi jabatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, BWC merupakan satu peranti kamera yang dipakai di badan seseorang anggota semasa menjalankan tugas di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan bagi tujuan untuk merakam bukti dalam bentuk digital.

Jelasnya, ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) Siri 10 Bil.5/2019.

"Rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anis, pihaknya sentiasa menyahut seruan Kerajaan Malaysia iaitu setiap kementerian dan jabatan harus mempertingkatkan tata kelola melalui penggunaan pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini serta berdiri setanding dengan peredaran digital semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!