Kami tidak hadapi kesukaran bekerjasama dengan Pau Marti

Endrick bersama pemain-pemain Harimau Malaya lain menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September. Foto: Football Association of Malaysia
Endrick bersama pemain-pemain Harimau Malaya lain menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September. Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

PEMAIN naturalisasi negara Endrick dos Santos yakin skuad Harimau Malaya mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan permainan diterap Pengendali Pau Marti Vicente sebagai persiapan mengharungi saingan Pestabola Merdeka 2024 minggu hadapan.

Endrick, 29, berkata biarpun masih terlalu awal membuat penilaian akan keberkesanannya, beliau percaya Pau Marti yang pernah berkhidmat selaku penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon tidak mempunyai banyak perbezaan.

“Hampir sama saya fikir, mereka mempunyai idea yang sama... dan juga kami mengikut sebarang arahan, jadi saya rasa kami tidak menghadapi kesukaran untuk bekerjasama dengan jurulatih (Pau Marti ),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Jumaat.

Beliau yang juga pemain tengah Ho Chi Minh City FC itu dalam masa sama berharap siapa pun yang akan dipilih bagi mengisi kesebelasan utama nanti mampu menjelmakan kemenangan sulung buat Vicente.

“Kami mempunyai ramai pemain yang bagus dan kami di sini untuk membantu Malaysia,” katanya.

Malaysia akan menentang Filipina pada separuh akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini yang juga merupakan debut Pau Marti sebagai jurulatih pasukan negara selepas dilantik bagi menggantikan Pan-gon yang meletakkan jawatan bulan lepas.

Satu lagi aksi separuh akhir kejohanan itu bakal menyaksikan juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan pada tarikh dan venue sama.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!