Lelaki maut dihempap timbunan kayu
LUMUT - Seorang pemandu lori maut selepas dihempap timbunan kayu dalam kejadian di sebuah kilang kayu di Ayer Tawar di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa yang berusia 41 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh majikannya sebelum melaporkan ke Balai Polis Ayer Tawar sekitar jam 11.20 pagi.
"Saksi memaklumkan terdengar bunyi kayu-kayu jatuh dan ternampak ada mangsa di bawahnya lalu dia membantu mengalihkan kayu-kayu tersebut.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dari timbunan tersebut dan mengalami kecederaan di kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!