Mourinho dedah cerita perpindahan Eriksen
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho membuat pendedahan mengejut mengenai perpindahan pemain tengah kelahiran Denmark, Christian Eriksen ke Inter Milan minggu lalu.
Menurut Mourinho, Eriksen sendiri minta untuk dilepaskan sejak hari pertama bekas pengurus Manchester United dan Chelsea itu mengambil alih tugas Mauricio Pochettino pada November tahun lalu.
"Christian beritahu saya, dia tidak mahu tandatangan (kontrak) kerana tidak mahu kekal di sini. Dia juga memaklumkan keputusannya itu muktamad dan tidak ada jalan lagi (untuk mengubahnya).
"Sejak itu, saya telah cuba membina pasukan ini tanpa Christian. Sebab itu jugalah, saya tidak menurunkan dia dalam banyak perlawanan musim ini. Apa pun, dia seorang pemain yang baik," katanya.
Biarpun tidak meragui sikap profesional pemain berusia 27 tahun itu, Mourinho turut menyifatkan Eriksen bermain seperti seorang yang tidak memiliki motivasi sejak beberapa bulan lalu.
"Saya tidak memberitahu (sebelum ini) kerana perjanjian moral dengan Eriksen tetapi sejak hari pertama saya tiba di kelab, dia memberitahu saya bahawa dia tidak mahu melanjutkan kontraknya.
"Jadi, ia terletak kepada saya dan (Pengerusi Spurs) Daniel Levy untuk menguruskan situasi tersebut. Bagi Levy, daripada sudut perniagaan, kami berupaya mendapatkan tawaran terbaik dengan kontrak yang berbaki enam bulan.
Eriksen yang menyertai Spurs pada 2013 selepas berhijrah dari Ajax Amsterdam masih memiliki baki kontrak sehingga Jun 2020. Namun, Spurs berjaya menjualnya kepada Inter sebelum jendela perpindahan ditutup secara rasmi kelmarin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!