'Beri Pau Marti peluang'

Hamidin (kanan) berbual bersama Pau Marti (kiri) dan Faisal. Foto Bernama
Hamidin (kanan) berbual bersama Pau Marti (kiri) dan Faisal. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN sensasi negara, Faisal Halim optimis ketua jurulatih, Pau Marti Vicente mampu menyuntik nafas baharu buat skuad Harimau Malaya.

Jurulatih dari Sepanyol itu yang mengambil alih tugas dari Kim Pan-gon akan mengharungi ujian pertama pada kejohanan Pestabola Merdeka 2024 minggu depan.

”Kita perlu menyokong Pau Marti sepenuhnya kerana situasi seorang ketua jurulatih bukan mudah. Saya yakin semua pemain kekal bersama beliau (Pau Marti),” katanya.

Faisal menjelaskan kesemua 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan negara kali ini cukup mengenali cara serta gaya Pau Marti dalam pasukan.

”Sebelum ini, semasa ada Pan-gon, Pau Marti menjadi pembantu jurulatih. Sekarang beliau menjadi pengendali, saya rasa semua pemain memahami dengan cara beliau,” katanya.

Menyentuh mengenai taktikal, Faisal tidak pasti, percaya akan ada pembaharuan yang dibawa jurulatih itu.

”Mungkin taktikal baharu, saya tak tahu tapi apa yang pasti sesuatu yang baharu untuk pasukan. Saya rasa semua pemain perlu bersedia dan fokus dengan apa yang Pau mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan tumpuan pihaknya ketika ini untuk memberikan peluang kepada Pau Marti mengemudi pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu beri peluang kepada Pau Marti untuk mengemudi pasukan dan dalam masa sama saya juga sudah buat kerja rumah untuk menilai pengendali baharu.

"Tempoh sehingga Disember ini merupakan tempoh untuk Pau Marti menunjukkan kebolehannya dan kita akan menilai dengan sebaik mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!