Tolak pemimpin masa depan ada isu rasuah
SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.
Ikuti pandangan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Palong 8, Ismail Salim mengenai perkara tersebut.
Sebagai anak muda bagaimana anda melihat masa depan politik negara?
Sebagai rakyat sudah pasti kita mahu kestabilan politik. Kestabilan politik tunjang kepada kestabilan Negara.
Secara peribadi kami anak muda mahukan kestabilan politik yang menjamin kepada pembangunan ekonomi yang mampan sekali gus mampu menyediakan peluang pekerjaan terutama dikawasan luar bandar.
Apakah yang anda harapkan untuk kepimpinan masa akan datang?
Kami anak muda mahukan pemimpin dari kalangan muka baru bukan 'recycle' (kitar semula) dan bukan pemimpin yang terang-terang terpalit dengan isu-isu rasuah supaya tidak menjadi menjadi barah dan melahirkan kepimpinan yang baik dan dipercayai.
Apa perubahan ekonomi yang anda sebagai anak muda harapkan dapat dicapai di Malaysia dalam masa terdekat?
Ekonomi yang menjurus kepada kepentingan ekonomi anak muda yang saksama. Maksud saya ialah jurang ekonomi di antara bandar dan luar bandar yang tidak jauh berbeza.
Apa jenis sokongan yang anda rasa perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda bertahan dalam sektor ekonomi?
Penempatan yang selesa dan kemudahan infrastruktur yang baik supaya manfaat dirasai oleh semua golongan. Disamping itu perlu ada jaminan ekonomi yang baik dan berdaya maju untuk jangka masa panjang.
Apa yang anda rasa perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah atau universiti di negara ini?
Kembalikan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang telah diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.
Bagaimana dengan harapan golongan muda terutama dari segi pekerjaan?
Bagi saya perlu ada jumlah gaji yang munasabah dengan nilai yang spesifik. Untuk ini kerajaan perlu menyediakan gaji yang sama dengan negara maju atau negara jiran supaya dapat mengurangkan tenaga mahir berhijrah ke luar negara. Ini merupakan satu kerugian kepada negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!