Kerajaan perlu ada hala tuju ekonomi yang jelas

Anak muda mahu kerajaan menetapkan hala tuju ekonomi negara yang jelas. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Zarul Afiq)
Anak muda mahu kerajaan menetapkan hala tuju ekonomi negara yang jelas. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Zarul Afiq)
A
A
A

SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.

Ikuti pandangan Pemangku Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pahang, Ahmad Zarul Afiq Arifudin mengenai perkara tersebut.

Sebagai rakyat sudah pasti kita mahu kestabilan politik. Apakah bentuk atau ciri-ciri kestabilan politik yang anak muda impikan?

Semua kena sedar bahawa fenomena dunia (India, France, Thailand) sekarang di mana tiada lagi satu parti politik secara solo boleh membentuk kerajaan tanpa ada kerjasama atau gabungan dengan parti politik lain. Ini bermakna kestabilan politik bukan bermaksud satu parti yang kuat kuasai kerajaan.

Maka, kestabilan politik boleh dicapai dengan memperkasakan institusi (reformasi institusi) dalam negara ini.

Mengukuhkan peranan Parlimen, mengurangkan kuasa berpusat Perdana Menteri, menghapuskan akta-akta draconian dan melaksanakan agenda reformasi 100 peratus.

Kerajaan akan bertukar setiap kali pilihanraya tetapi institusi tetap utuh dan mampu berfungsi - inilah makna dan bentuk kestabilan politik.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, apakah yang anda harapkan daripada seorang PM?

Artikel Berkaitan:

Saya sebagai Pengurus Program TEROKA - sebuah program kepimpinan politik, antara objektif program ini ialah melahirkan lebih ramai pemimpin anak muda (berumur 18-25 tahun) yang inklusif dan berkemahiran. Sudah pasti hasrat kami menginginkan peserta TEROKA bakal menjadi perdana menteri kelak.

Kita tidak boleh nak harapkan sesuatu tanpa mewujudkan ekosistem untuk melahirkan pemimpin yang kita inginkan. Maka di dalam TEROKA, kami memperkasakan pemimpin wanita dan muda.

Oleh itu tidak mustahil 10 tahun akan datang kita akan dipimpin Perdana Menteri wanita atau muda.

Apa perubahan ekonomi yang anda sebagai anak muda harapkan dapat dicapai di Malaysia dalam masa terdekat?

Pengagihan ekonomi dan hala tuju ekonomi negara yang jelas. Anak muda mahu kerajaan menetapkan hala tuju ekonomi negara yang jelas, ke mana negara ini dibawa.

Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang lepas, negara kita mengalami fasa terumbang ambing tanpa hala tuju yang jelas. Pengagihan ekonomi pula perlu selaras dengan tekad kerajaan untuk membasmi rasuah dan tadbir urus yang baik.

Jika dua perkara ini jelas dan dilakukan maka anak muda akan berasa ada masa depan yang cerah menunggu mereka di masa akan datang.

Apa jenis sokongan yang anda rasa perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda bertahan dalam sektor ekonomi?

Bila soal sokongan ini tidak lari dari dua perkara iaitu modal dan latihan. Tapi saya ingin tekankan berkenaan latihan. Kerajaan perlu sediakan lebih banyak program latihan dan program-program ini perlulah program yang bersesuaian dengan zaman ini.

Tidak guna jika program latihan ini tidak ‘up to date’ dengan keperluan masa kini kerana anak muda tidak akan tertarik dan ia tidak mampu untuk anak muda berdepan dengan cabaran ekonomi.

Apa yang anda rasa perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah atau universiti di negara ini?

Secara jujurnya sistem pendidikan negara ini perlu dirombak keseluruhannya, tetapi ia memang memerlukan tekad besar untuk lakukan. Cuma perkara yang saya ingin tekankan di sini ialah mewujudkan silibus atau subjek demokrasi.

Umur mengundi sudah diturunkan ke 18 tahun, maka sistem pendidikan perlu menyediakan pendidikan formal berkenaan Demokrasi. Jika perkara ini tidak diletakkan secara formal di dalam sistem pendidikan negara, anak muda akan mudah terpesong dengan permainan politik yang tidak sihat. Ia satu emergency call kepada semua pihak untuk melihat secara serius perkara ini.

Apa jenis program atau kursus yang anda rasa perlu ditawarkan kepada golongan muda untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan?

Program atau kursus kemahiran yang terkini. Tawarkan sijil kemahiran yang pendek dan sederhana pendek untuk anak muda diisi dengan kemahiran yang terkini.

Hal ini akan mewujudkan anak muda yang berkemahiran dan ini mampu menarik perhatian syarikat-syarikat untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada anak muda. Program kemahiran ini juga perlu mesra dengan masa dan medium yang digunakan oleh anak muda.

Apa peluang pekerjaan yang anda harap diperbanyakkan di Malaysia untuk golongan muda?

Peluang pekerjaan ini perlu selaras dengan hala tuju ekonomi negara. Supaya penawaran pekerjaan itu selari dengan permintaan yang ditawarkan oleh syarikat.

Dunia bergerak pantas dengan teknologi AI, Malaysia juga perlu bergerak bersama dalam agenda ini. Fasiliti dan teknologi kita ada, cuma hala tuju kita sahaja yang belum jelas.

Tetapi jangan kita juga lupa sektor pertanian kita perlu lebih ke hadapan dengan teknologi terkini supaya anak muda tertarik dengan peluang pekerjaan dalam sektor ini.

Golongan muda nak gaji berapa yang boleh dikategorikan stabil?

Mengikut laporan Bank Negara gaji sara hidup semasa ialah sebanyak RM2,700 dan UNICEF juga ada mengeluarkan kajian bahawa gaji minimum yang sesuai dengan semasa ialah RM2,102.

Kajian ini menunjukkan satu angka gaji permulaan yang wajar dibayar kepada anak muda yang mula bekerja.

Tetapi untuk satu angka gaji yang stabil, ia memerlukan kajian terperinci oleh kerajaan. Saya merasakan RM2,500 merupakan gaji yang wajar dan bermaruah untuk permulaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!