Tambah kuota masuk IPTA untuk B40, tanpa kira bangsa

Jumlah kuota kemasukan ke dalam IPTA dan perlu utamakan kepada golongan daripada pendapatan rendah seperti keluarga B40 tanpa mengira bangsa. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wei Kiat)
Jumlah kuota kemasukan ke dalam IPTA dan perlu utamakan kepada golongan daripada pendapatan rendah seperti keluarga B40 tanpa mengira bangsa. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wei Kiat)
A
A
A

SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.

Ikuti pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat mengenai perkara tersebut.

Sebagai rakyat sudah pasti kita mahu kestabilan politik. Apakah bentuk atau ciri-ciri kestabilan politik yang anak muda impikan?

Jika dilihat dari mata kasar, kita mahukan kerajaan yang tidak akan diugut atau diancam kedudukan mereka, melalui bilangan kerusi parlimen kerajaan dan membolehkan kerajaan untuk membuat keputusan jangka masa panjang.

Ramai di kalangan rakyat mengharapkan bahawa kerajaan selesaikan masalah kos sara hidup mereka dalam tempoh masa singkat.

Tetapi jika kerajaan melakukan seperti itu ia akan memberi kesan yang mendalam dalam perbelanjaan fiskal negara.

Disebabkan itu jika kita melihat dari sudut apa yang kerajaan lakukan sangat-sangat menggambarkan kepada perancangan jangka masa panjang seperti Plan Transformasi Bumiputera 2035 dan Rasionalisasi subsidi.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, apakah yang anda harapkan daripada seorang pemimpin?

Artikel Berkaitan:

Umur, jantina atau bangsa saya tidak akan persoalkan tapi apa yang ingin saya lihat ada sejarah pejuang yang terbukti mengikut denyut nadi rakyat.

Kita boleh lihat sekarang, tiada dalam sejarah Malaysia Perdana Menteri yang difitnah, dimasukkan dalam penjara, dan dipukul.

Jika ada ahli politik yang ingin jadi Perdana Menteri, beliau kena letakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai KPI.

Jika tidak lepas KPI untuk jadi lebih hebat, saya nasihat lupakan sahaja niat untuk jadi Perdana Menteri.

Apa perubahan ekonomi yang anda sebagai anak muda harapkan dapat dicapai di Malaysia dalam masa terdekat?

Peningkatan purata gaji anak muda tetapi tidak boleh dilakukan dalam tempoh satu tahun. Ia perlukan masa untuk kita selarikan dengan perkembangan ekonomi negara.

Sekarang kita boleh lihat bahawa kerajaan sangat fokuskan kepada peningkatan gaji anak muda. Sebagai contoh kerajaan sekarang banyak menggunakan formula serampang dua mata.

Peningkatan gaji kakitangan awam dan peningkatan gaji pekerja swasta melalui Dasar Gaji Progresif.

Apa jenis sokongan yang anda rasa perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda bertahan dalam sektor ekonomi?

Dalam sektor perniagaan, kerajaan juga perlu memberikan perhatian. Kita boleh lihat semakin ramai anak muda yang menceburi bidang ini.

Kerajaan perlu menyediakan program sokongan keusahawanan, termasuk bantuan dalam bentuk bimbingan, dana permulaan, dan akses kepada jaringan perniagaan.

Tambahan pula kerajaan boleh memperbanyakkan geran perniagaan seperti yang dilakukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melalui inisiatif INTAN.

Saya sentuh bahagian teknikal, ramai anak muda kita menghadapi masalah celik kewangan atau pengurusan kewangan.

Kerajaan perlu memainkan peranan untuk membuat inisiatif-inisiatif yang membantu mereka agar tidak salah untuk membuat keputusan kewangan.

Sebagai contoh menyediakan inisiatif pinjaman pembelian rumah, kereta atau modal perniagaan dengan kadar faedah yang sangat rendah.

Walaupun kita tahu kerajaan ada sediakan rumah mampu milik seperti Rumah selangorku, rumah wilayah dan lain-lain. Tapi kerajaan juga perlu ambil perhatian terhadap kadar faedah yang terlalu tinggi.

Apa yang anda rasa perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah atau universiti di negara ini?

Pertama meningkatkan jumlah kuota kemasukkan ke dalam IPTA dan perlu utamakan kepada golongan daripada pendapatan rendah seperti keluarga B40 tanpa mengira bangsa.

Selagi mereka rakyat malaysia kita perlu bagi perhatian. Jika kita selesaikan masalah pendidikan saya percaya masalah ekonomi anak muda juga akan diselesaikan.

Apa jenis program atau kursus yang anda rasa perlu ditawarkan kepada golongan muda untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan?

Kita sedia maklum bahawa sekarang anak muda yang berumur 18 tahun sudah layak untuk mengundi dan pemilihan wakil rakyat.

Subjek politik dan kenegaraan perlu ada di peringkat sekolah menengah. Ini sangat penting untuk mereka semua celik politik dan tidak mudah-mudah termakan dengan propaganda yang berunsur fitnah, agama dan kaum.

Apa peluang pekerjaan yang anda harap diperbanyakkan di Malaysia untuk golongan muda?

Kita perlu banyakkan dalam bidang sains dan teknologi, kerana setiap hari dunia semakin berkembang dan berinovasi.

Kita tidak mahu malaysia menjadi negara yang terbelakang dalam bidang ini, dan kita mahukan anak jati malaysia sendiri untuk memajukan sains dan teknologi di Malaysia.

Kita tidak mahu mereka yang terlibat dalam industri ini menyumbang idea dan tenaga di negara luar. Maka dengan itu sangat penting untuk kita memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dalam industri ini.

Lagi satu, berkaitan dengan bidang kreatif seperti Kesenian Visual, Kraftangan dan Seni Tradisional sangat kurang mendapat perhatian rakyat.

Walaupun kerajaan sudah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk mempromosi bidang ini di kalangan rakyat Malaysia, lagi-lagi untuk anak muda.

Saya dapati mereka ini berpunca kerana terdapat stereotaip yang menyifatkan kerjaya dalam bidang ini sebagai kurang stabil atau kurang memberi pulangan yang baik berbanding kerjaya dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, atau perakaunan.

Atau boleh dikatakan kerjaya ini tidak mempunyai masa depan. Tapi saya sangat percaya bidang ini mempunyai masa depan yang cerah.

Kita sebagai rakyat sangat perlu memainkan peranan yang penting untuk hapuskan stereotaip dikalangan rakyat, tidak kesah muda ataupun tua.

Sebab bidang ini yang mempertahankan budaya Malaysia itu sendiri. Jika tiada bidang ini, kita sudah tiada apa yang nak dibanggakan sebagai rakyat malaysia.

Golongan muda nak gaji berapa yang boleh dikategorikan stabil?

Ia sangat penting untuk mengikut kawasan bandar atau luar bandar. Jika di area kuala lumpur dan lembah klang gaji yang sesuai untuk anak muda dalam purata RM3,000 hingga RM4,500 sebulan.

Ini kerana kos sara hidup di kawasan bandar sangat tinggi jadi gaji dalam purata ini boleh memberi kehidupan yang selesa jika pengurusan kewangan dilakukan dengan baik.

Saya akan sentuh di kawasan bandar sebab saya percaya majoriti anak muda suka berhijrah ke kawasan bandar untuk dapatkan lebih banyak pengalaman dan peluang kerjaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!