Impikan kerajaan telus, bebas rasuah
SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.
Ikuti pandangan Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin mengenai perkara tersebut.
Apakah yang diimpikan oleh anak muda dari segi politik?
Kestabilan politik bagi golongan ini bermakna adanya kerajaan yang telus, bebas rasuah serta menghormati hak asasi manusia. Kita mahu wakil rakyat yang tidak hanya mementingkan kuasa tetapi berkhidmat dengan integriti, mendengar suara rakyat dan memacu pembangunan yang inklusif.
Apa harapan golongan muda kepada Perdana Menteri pada masa akan datang?
Kita mahukan seorang Perdana Menteri yang progresif, berwawasan dan berjiwa rakyat kepada semua rakyat. Mempunyai komitmen terhadap pembaharuan institusi, keberanian membuat keputusan untuk kebaikan rakyat serta pemimpin yang memahami isu semasa dan teknologi kerana dunia kini berubah dengan pantas.
Apakah perubahan ekonomi yang diharapkan dalam masa terdekat?
Saya berharap Malaysia dapat mencapai kestabilan ekonomi yang lebih baik dengan pertumbuhan yang inklusif. Ini termasuk usaha mengurangkan jurang pendapatan, memastikan peluang pekerjaan yang adil dan setara serta meningkatkan sokongan untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Di samping itu, mereka juga mahu melihat inisiatif yang lebih agresif dalam mengatasi isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimana dengan sokongan kerajaan untuk golongan muda dalam sektor ekonomi?
Kita amat perlukan sokongan seperti akses yang lebih mudah kepada pembiayaan, program bimbingan untuk usahawan muda, serta peluang latihan vokasional yang relevan dengan keperluan pasaran semasa. Kerajaan juga perlu menyediakan polisi yang menyokong inovasi dan teknologi, yang dapat membuka lebih banyak peluang dalam sektor ekonomi digital dan hijau.
Adakah perlu pembaikan dalam sistem pendidikan?
Sistem pendidikan di Malaysia perlu memberi lebih penekanan kepada pembangunan kemahiran kritikal seperti pemikiran analitik, kreativiti, dan penyelesaian masalah.
Selain itu, sistem pendidikan perlu memperkenalkan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri serta menekankan pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran praktikal juga perlu diperluaskan untuk memastikan pelajar tidak hanya mahir dalam teori tetapi juga dalam aplikasi sebenar.
Selain itu, kita juga perlu program yang berfokus kepada kemahiran digital, keusahawanan dan kepimpinan perlu diperbanyakkan. Kursus dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan, data analitik dan pembangunan perisian akan membantu golongan muda bersedia untuk masa depan yang semakin berorientasikan teknologi.
Di samping itu kursus yang mengajar kemahiran pengurusan kewangan peribadi dan kebolehan beradaptasi dengan perubahan perlu diperkenalkan.
Bagaimana dengan peluang pekerjaan yang diharapkan untuk golongan muda?
Golongan muda berharap lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor teknologi, ekonomi digital dan industri kreatif. Selain itu, pekerjaan dalam sektor yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar juga semakin penting, memandangkan cabaran global seperti perubahan iklim. Industri yang menawarkan fleksibiliti dan peluang untuk bekerja secara jarak jauh juga menjadi tumpuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!