Risiko Perang Dunia Ketiga
MOSCOW - Rusia mendakwa Barat sedang bermain dengan api apabila ia mempertimbangkan langkah untuk membenarkan Ukraine melancarkan serangan misil menjangkau jarak lebih jauh ke Moscow.
Kremlin menyifatkan provokasi sedemikian berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga ketika komuniti antarabangsa juga sedang memberi tumpuan kepada potensi konflik lebih meluas di rantau Asia Barat.
Rusia berasa ‘tertampar’ setelah Ukraine melancarkan operasi mengejut merentasi sempadan ke wilayah Kursk pada awal bulan lalu yang merupakan kempen pencerobohan terbesar ke atas Moscow sejak Perang Dunia Kedua tercetus.
Sejak itu Kiev terus mara dan menawan sejumlah bandar serta perkampungan di wilayah sempadan, sekali gus menggugat benteng pertahanan Rusia.
Sergey Lavrov yang berkhidmat sebagai Menteri Luar di bawah pentadbiran Presiden Vladimir Putin sejak lebih dua dekad lalu menegaskan Barat sengaja memburukkan lagi konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu.
Sejak Rusia ‘menceroboh’ Ukraine pada Februari 2022, Putin berulang kali memberi amaran tentang risiko perang lebih dahsyat melibatkan kuasa nuklear terbesar di dunia meskipun pemimpin tersebut menyatakan enggan terlibat sebarang konflik bersama pakatan tentera di bawah Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
“AS dengan jelas menyebut tentang risiko Perang Dunia Ketiga. Jangan pernah terfikir tentang rancangan itu kerana ia bakal memberi impak dahsyat kepada rantau Eropah jika benar-benar berlaku.
“Mereka (Barat) seperti kanak-kanak kecil yang bermain dengan mancis. Ia adalah tindakan yang berbahaya buat ‘bapa dan ibu saudara dewasa’ mereka yang memiliki senjata nuklear,” kata Lavrov yang cuba memberi perumpamaan tentang situasi yang semakin meruncing itu.
Doktrin nuklear Rusia pada 2020 menetapkan Presiden boleh mempertimbangkan untuk menggunakan senjata nuklear apabila wujud ‘ancaman yang nyata’ sebagai respons terhadap serangan yang mengakibatkan kemusnahan besar kepada Moscow.
Kremlin mendakwa senjata Barat termasuk kereta kebal Britain dan sistem roket AS telah digunakan oleh Kiev dalam operasi ketenteraan di Kursk.
Ukraine turut mengesahkan mereka menggunakan misil HIMARS dihantar Washington untuk memusnahkan jam-batan di wilayah sempadan Rusia.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak, AS cuba berselindung dengan mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang kempen pencerobohan tersebut, malah Washington juga menjelaskan kononnya tidak terlibat dalam operasi berkenaan.
Ketua Risikan Asing Moscow, Sergei Naryshkin bagaimanapun mengutuk sikap pura-pura Barat.
Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov percaya AS turut menjadikan Ukraine sebagai boneka seperti dilakukan terhadap Israel untuk melancarkan Perang Gaza.
Sebelum ini, New York Times melaporkan AS dan Britain memberikan maklumat termasuk imej satelit tentang wilayah Kursk, beberapa hari selepas misi serangan balas Ukraine itu bermula.
Sejak awal minggu lalu, negara-negara jiran Kiev-Moscow semakin memperkukuhkan benteng pertahanan masing-masing kerana khuatir jika ia turut terjerumus ke dalam konflik antara dua seteru lama itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!