Sediakan insentif, bantuan kewangan untuk anak muda
SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.
Ikuti pandangan Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff mengenai perkara tersebut.
Apakah kestabilan politik yang diimpikan oleh anak muda?
Anak muda mengimpikan kerajaan yang telus, di mana setiap keputusan yang diambil berlandaskan keperluan rakyat, serta pemimpin yang bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.
Anak muda juga ingin melihat pemimpin yang berwibawa, berintegriti, dan bebas daripada sebarang skandal.
Mereka juga berharap agar wujudnya lebih banyak ruang untuk penglibatan rakyat, terutamanya golongan muda, dalam membuat keputusan politik.
Apakah perubahan ekonomi yang diharapkan dalam masa terdekat?
Perlu lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, terutamanya dalam sektor teknologi, hijau, dan kreatif.
Selain itu, usaha untuk mengurangkan kos sara hidup, seperti harga rumah, pendidikan, dan kesihatan.
Malah, pembangunan industri baharu yang boleh menjana ekonomi negara, seperti ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui juga penting.
Bagaimana sokongan kerajaan untuk golongan muda dalam sektor ekonomi?
Perkara penting ialah perlunya, program bantuan kewangan dan bimbingan untuk usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan.
Selain itu, program latihan kemahiran dan peningkatan kompetensi yang berterusan.
Kami mahu supaya subsidi untuk perumahan, pendidikan, dan akses kepada modal perniagaan bagi membantu golongan muda.
Apakah perkara yang perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan?
Pada pandangan saya, kurikulum yang lebih seimbang antara teori dan praktikal, dengan penekanan pada kemahiran insaniah dan teknikal. Penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum dan latihan bagi memastikan pelajar lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Selain itu, penggunaan teknologi dan pendekatan pengajaran yang lebih inovatif untuk menarik minat pelajar.
Bagi saya perlu juga diwujudkan kursus dalam bidang teknologi seperti pengaturcaraan, kecerdasan buatan, dan data analitik. Ini termasuk dengan program untuk menggalakkan usahawan muda dengan kemahiran seperti pengurusan perniagaan dan inovasi serta kursus yang fokus kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Apakah peluang perkerjaan pada masa depan yang diperlukan?
Bagi saya yang penting ialah pekerjaan dalam sektor teknologi, seperti perisian, data dan kecerdasan buatan, malah pekerjaan dalam sektor kreatif seperti seni, rekabentuk, dan hiburan juga ada potensi.
Selain itu, pekerjaan yang berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan alam sekitar, dan pembangunan lestari.
Bagi anda apakah tahap gaji yang diperlukan oleh orang muda?
Golongan muda mungkin menganggap gaji minima yang stabil untuk memulakan kerjaya adalah antara RM3,000 hingga RM4,500 sebulan, bergantung kepada lokasi dan sektor pekerjaan.
Untuk kehidupan yang lebih stabil dan selesa, golongan muda mungkin berharap untuk memperoleh gaji antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!