'Kita tidak layan usaha melobi projek-projek orang kaya'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor mengajak rakyat negeri itu memupuk semangat perpaduan, bersatu padu antara kaum tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan keturunan pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 tahun ini.

Katanya, rakyat Kedah perlu hidup aman damai bersatu padu dan mengelakkan perasaan dengki-mendengki serta tidak mensabotaj orang lain.

"Kita guna semua sumber kekuatan yang ada di semua kaum dan latar belakang untuk bangunkan negeri ini menuju The Greater Kedah," katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah di Dataran Jubli Emas di sini pada Jumaat malam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan exco kerajaan negeri.

Sanusi (tengah) mengetuai laungan Merdeka ketika Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah di Dataran Jubli Emas di sini pada Jumaat malam.
Sanusi (tengah) mengetuai laungan Merdeka ketika Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah di Dataran Jubli Emas di sini pada Jumaat malam.

Menurutnya, Kedah juga telah muncul sebagai negeri yang paling besar menerima kemasukan pelaburan asing iaitu sebanyak RM31.8 bilion untuk suku pertama tahun ini.

"Kita buka seluas-luasnya peluang ekonomi untuk seluruh rakyat negeri (Kedah), kita tidak mahu kekayaan hanya berlegar dalam kalangan orang tertentu sahaja.

"Kita tidak melayan usaha melobi projek- projek orang kaya, tapi kita bebaskan ekonomi untuk direbut peluang yang sama rata oleh seluruh rakyat negeri Kedah tanpa mengira siapakah anda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, negeri Kedah juga akan menjadi pembantu utama untuk para ibu tunggal anak-anak yatim dan orang miskin agar dapat bersaing secara saksama dan sama rata untuk merebut peluang yang ada di negeri ini.

"Ada ibu-ibu tunggal yang keresahan runsing di mana nak mencari duit untuk memasukkan anak-anak mereka ke institut pengajian tinggi (IPT).

"Anak-anak yatim yang tidak ada duit untuk meneruskan pengajian terpaksa berhenti dan minta sedekah depan bank.

"Selepas 67 tahun merdeka, kita tidak mahu ada lagi keresahan atau kerunsingan ini," katanya.

Sanusi menambah, setelah 67 tahun merdeka tiada satu pun negara luar berhak memberi tunjuk ajar kepada Malaysia cara untuk membangun.

"Kita nak negara ini membesar ekonominya dan dikongsi secara saksama, kita nak perjalanan hidup dan masa depan berjalan berdasarkan acuan kita sendiri.

"Kerana kita orang Malaysia, orang-orang Kedah telah ada kiblat dan petunjuk yang datang kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!