'Objektif saya tewaskan Filipina'
PENGENDALI skuad bola sepak negara, Pau Marti Vicente berharap tugasan pertamanya membimbing skuad Harimau Malaya pada Kejuaraan Pestabola Merdeka tidak berakhir dengan kekecewaan.
Harimau Malaya akan menentang Filipina bagi aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 4 September ini dan sekiranya menang, skuad kendalian Pau Marti akan berdepan sama ada Lubnan atau juara bertahan Tajikistan di pentas final yang dijadual berlangsung 8 September ini.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata,nmbahawa untuk mencapai matlamatnya, dia memerlukan barisan pemain bermotivasi tinggi dan menunjukkan dedikasi semasa latihan.
"Objektif saya adalah untuk menewaskan Filipina. Kita berada dalam situasi di mana kita tidak boleh berfikir terlalu jauh kecuali menang pada perlawanan pertama.
"Saya mahu semua pemain bermotivasi dan berusaha keras semasa latihan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama...saya mahu pasukan memiliki mentaliti kemenangan dan tidak lebih daripada itu.
"Saya fikir Filipina adalah lawan yang kuat...kita perlu fokus kepada mereka dan lihat apa yang akan datang," katanya ketika ditemui media semasa hari pertama sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Pada masa yang sama, Pau Marti memberi jaminan akan menurunkan skuad terkuat untuk memburu kemenangan menentang Filipina.
Sementara itu, Pau Marti memaklumkan bahawa semua pemain yang dipanggil untuk kem latihan telah melaporkan diri kecuali pemain pertahanan, Dion Cools yang masih mempunyai perlawanan bersama kelabnya di Thailand dan akan menyertai kem latihan Isnin ini.
Perlawanan menentang Filipina akan menjadi tugasan pertama Pau Marti selepas pelantikannya susulan peletakan jawatan mengejut bekas jurulatih Kim Pan-gon, 16 Julai lalu.
Pau Marti sebelum ini merupakan penolong kepada Pan-gon sejak tahun 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!