Sambutan Hari Kebangsaan 2024 bermula

Kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersiap sedia pada acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama
Kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersiap sedia pada acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' bakal berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula 8 pagi ini.

Setiap tahun rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama pasti berhimpun untuk tujuan yang sama iaitu menyemarakkan semangat patriotik.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.

Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.

Suasana sekitar acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama
Suasana sekitar acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pada Sabtu. Foto Bernama

Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia Madani yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

Persembahan tarian bertajuk 'Cuci Rasuah' turut dipersembah sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah.

PM, menteri Kabinet hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Kabinet hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini pada Sabtu.

Anwar yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pentas Diraja pada 7.55 pagi bagi menyaksikan perarakan serta persembahan sempena sambutan tahun ini.

Terdahulu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masing-masing tiba di Dataran Putrajaya pada 7.38 pagi dan selang tujuh minit kemudian.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Yusof serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Acara bertemakan "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" itu juga dihadiri timbalan-timbalan menteri, dif-dif kehormat dan perwakilan asing.

Sambutan Hari Kebangsaan: Orang ramai mula berkampung sejak malam tadi

Dalam pada itu, pekarangan Dataran Putrajaya di sini mula dipenuhi orang ramai sejak tengah malam tadi bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung 8 pagi ini.

Semangat menyambut detik bersejarah ini dapat dilihat apabila ada pengunjung sanggup ‘berkampung’ di kawasan dataran sejak malam tadi bagi memastikan mereka mendapat tempat terbaik untuk melihat perarakan serta persembahan menarik sempena sambutan tahun ini.

Bukan hanya laluan utama perarakan, tempat duduk awam bertingkat yang disediakan khas juga mula dipenuhi orang ramai sebaik sahaja dibuka secara berperingkat pada 3.30 pagi.

Sekitar 6.30 pagi, dif-dif kehormat, diplomat dan perwakilan asing mulai tiba di lokasi.

Keadaan cuaca yang baik pagi ini melancarkan dan memudahkan pergerakan pengunjung serta peserta perarakan dan persembahan membuat persiapan.

Seorang pengunjung Norhasmira Rahim, 34, dari Klang, Selangor berkata dia dan rakan-rakan memutuskan untuk ‘bermalam’ di Dataran Putrajaya sejak 12 tengah malam tadi bagi memastikan mereka mendapat tempat paling hampir dengan pentas utama.

"Kita tahu orang ramai memang sanggup hadir awal setiap kali sambutan berlangsung, tetapi meskipun kami datang awal, sudah ramai yang berada di sini.

"Walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga, ia bukan masalah kerana kami sangat teruja untuk menyaksikan acara pada hari ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!