Liverpool dah cukup kuat

KLOPP
KLOPP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp enggan terlalu panik walaupun tidak berbelanja besar membeli pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini yang menutup tirainya secara rasmi kelmarin.

Menurut Klopp, The Reds telah memiliki barisan pemain terbaik dan beliau sendiri tidak pasti posisi mana lagi yang perlu ditambah baik berdasarkan persembahan cemerlang dipamerkan anak-anak buahnya setakat ini.

"Kami tidak terlalu sibuk pada jendela perpindahan Januari ini tetapi kami tetap melakukan perbincangan dan bertukar idea tentang perancangan pada masa depan.

"Kami berada dalam keadaan baik pada saingan liga musim ini dengan menduduki tangga teratas liga dan ia membuktikan kekuatan yang dimiliki pasukan. Apa yang saya boleh katakan, saya gembira dengan pemain yang ada," katanya.

Untuk rekod, Liverpool cuma membeli pemain kelahiran Jepun, Takumi Minamino dari kelab Austria, Red Bull Salzburg pada jendela perpindahan Januari lalu dengan nilai 7.25 juta pound (RM39.29 juta).

“Perancangan kami adalah untuk sibuk pada musim panas, bukannya musim sejuk. Bukan mudah (menambah baik pasukan) tetapi adakah ia mampu dilakukan? Kita harus tunggu dan lihat, ia sukar dinilai dalam tempoh singkat.

“Semakin baik musim yang anda harungi, semakin baik sesebuah pasukan itu. Semakin sedikit perkara yang perlu anda lakukan dan anda lebih gembira dengan pemain-pemain sedia ada," ujarnya.

Klopp turut menegaskan mahu menggunakan sepenuhnya pemain sedia ada dan menunggu impak daripada Alex Oxlade Chamberlain dan Naby Keita selepas kedua-dua tonggak The Reds itu pulih daripada kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Liverpool mempunyai ramai pemain berbakat dan memerlukan masa untuk berada pada prestasi terbaik. Malah, kami ada pemain muda yang sedang meningkat naik Elliott, Curtis Jones dan Neco Williams. Mungkin ada pertambahan pemain baharu tetapi bukan pada masa sekarang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!