Tanah jerlus di Jalan Masjid India: Operasi SAR masuk hari kesembilan

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India awal pagi ini. Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India awal pagi ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus komited mengesan mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang operasi pencariannya memasuki hari kesembilan sejak kejadian itu berlaku pada 23 Ogos.

Lebih 115 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi tersebut membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains.

Tinjauan Bernama di lokasi pada 9.30 pagi ini mendapati pasukan SAR sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar bagi meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan setakat ini.

DBKL dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan operasi SAR pada hari kelapan diteruskan pada sebelah malam.

Difahamkan, pasukan SAR malam tadi yang meneruskan operasi sehingga 4 pagi, menggunakan kamera teleskopik bagi melihat imej lebih jelas terutama di lurang kumbahan dua di kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan backlog.

Kamera tersebut mempunyai gabungan teknologi yang terdapat pada kamera push rod dan crawler yang digunakan sebelum ini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan usaha pencarian berkenaan memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dijangka membuat sidang media berhubung kejadian terbabit pada 2 petang ini.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!