Tun M hadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

Tun Dr Mahathir beramah mesra dengan orang ramai di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Sabtu.
Tun Dr Mahathir beramah mesra dengan orang ramai di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dataran Putrajaya bagi menyambut Hari Kebangsaan 2024 di sini pada Sabtu.

Video berdurasi empat minit 28 saat itu menunjukkan pengunjung teruja dengan kehadiran Dr Mahathir dengan berteriak memanggil 'Tun'.

Dr Mahathir juga sempat berjumpa dan beramah mesra dengan orang ramai pada sekitar jam 9 pagi.

Kelihatan orang ramai yang menantikan pertunjukkan sempena Hari Kebangsaan juga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan berswafoto dengan Dr Mahathir.

Dalam masa sama menerusi video tersebut, Dr Mahathir dilihat bergambar berlatar belakang aset negara yang ketika itu sedang melakukan perarakan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berlangsung pada 31 Ogos 2024 dengan tema 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' di Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, bermula jam 7 pagi.

Acara gilang-gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan membabitkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.

Artikel Berkaitan:

Seperti kebiasaan sambutan Hari Kebangsaan, pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menggamatkan ruang udara Putrajaya dengan deruan enjin jet pejuang seperti Sukhoi SU-30, F/A 18D Hornet dan Hawk MK 208.

Selain itu, bakal dipertontonkan persembahan tempur tanpa senjata daripada 250 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang penuh aksi dan bertenaga yang pastinya memukau para pengunjung.

Antara kelainan yang dibawa kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara, yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!